Friday, December 20, 2013

The End of Lecture Week, Semester 1

Assalamualaikum.

Bertemu kita sekali lagi untuk entri pertama bulan Disember. Alhamdulillah, selesai sudah lecture week bagi semester 1, sesi 2013/2014. Kali ini saya sekadar ingin berkongsi kenangan-kenangan sepanjang semester ini berlalu. Ada yang manis, pahit, masam, masin dan tawar (well, ayat cliche katakan)

Menyoroti kembali awal permulaan semester setelah bergelar pelajar tahun ketiga, rupa-rupanya memang betul cakap-cakap senior yang mengatakan sesungguhnya apabila menjangkau jadi pelajar tahun ketiga, kesibukan semakin berganda. Ya, teori tersebut sangat tepat! Dapat assignment pelik-pelik (I will say that video editing assignment is pelik, hahahaha!), dapat belajar benda untuk diaplikasikan pada dunia sebenar dan macam-macam lagi. Kalau tulis sampai buka semester baru pun tak habis.

I'll start with my usrahs. Di UIA, saya ada dua usrah, which are usrah yang saya sertai dan usrah yang saya pegang sebagai naqibah. Sesibuk manapun, jangan tinggalkan program tarbiyyah (pesan Along Nik Nur 'Amirah). Dekat sinilah saya mencari kekuatan dan sampai sekarang masih bersama dengan ahli usrah sejak di tahun kedua. Kalau usrah bersama adik-adik junior BENL, kami selalu bergelak ketawa sama-sama di samping berkongsi ilmu. Well, usrah ini bukannya sekadar berbincang bab-bab agama semata-mata, tapi dalam usrah kita dapat mengenal seseorang itu dengan lebih dekat.

Next, tak dilupakan juga kesanggupan saya 'berlari' sebentar ke Melaka dek kerana kesibukan dan ketegangan di universiti. Thanks Ilyani sebab sudi terima kunjungan saya walaupun sehari. 

And the most unforgettable moment bila terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Kampus UIA Gombak sebagai seconder kepada seorang sahabat yang bertanding di KIRKHS Constituency. Dapat tengok sendiri bagaimana proses penamaan calon berjalan, dan alhamdulillah proses berkempen berjalan lancar walaupun biasalah kontroversi dan konflik yang sangat sinonim dengan UIA. Dapat panjat KICT di atas bukit demi flashmob salah seorang calon yang bertanding, tolong calon dari kulliyyah lain dan sebagainya. Ramai yang bising-bising dah kenapa Filzati sibuk-sibuk sangat dengan PRK UIA? Saat paling manis mestilah calon yang kita sibuk kempenkan menang, bukan? Alhamdulillah, tahniah dan takziah YB Alif (beliau senegeri dengan saya). Banyak bantu ajarkan pelajar UIA video editing guna software Sony Vegas gara-gara assignment Morphology (saya terutamanya).

Antara event penting yang saya sertai ialah Asputra 09 Live in Shah Alam. Dapat berjumpa rakan-rakan satu batch di sekolah menengah dulu, melawat UITM Shah Alam, makan-makan di Restoran Barra, shopping di Cala Qisya. Tipulah kalau cakap tak rindu zaman muda-mudi di sekolah dulu. Zaman tak matang, zaman cinta monyet. Monyet pun pandai bercinta.

Bak kata Dr. Seuss, "don't cry because it's over, but smile because it happened.."

Wassalam.

Saturday, November 23, 2013

"Now I am a student, then..?"

Assalamualaikum.

Belakangan ini seakan tiada masa hendak menguruskan diri sendiri. Bilik terkadang dibiarkan bersepah-sepah, baju tidak berlipat, dan ada sesetengahnya dibiarkan tidak berbasuh. Hanya dengan beralasan,

"Alah, tak ada masa nak buat semua benda. Assignment banyak, kena pergi meeting program lagi.."

Natijahnya, blog kesayangan dibiarkan usang tidak berpenghuni. Mungkin kalau ada sesiapa hendak buat penggambaran filem hantu boleh cuba negotiate dengan saya?

Alhamdulillah 'ala kulli hal, dalam kesibukan hidup sebagai mahasiswe (bak kata Ustaz Nazmi dalam program Mega Usrah Muzikal semalam), sedar tidak sedar kami, mahasiswa di UIAM ini bakal menghadapi peperiksaan akhir semester tidak lama lagi. Semester satu masih berbaki sebulan sebelum bermulanya minggu ulangkaji. Kehilangan saya selama ini pun sebenarnya hanya kerana sibuk berassignment, usrah, menjadi committee program, berpilihan raya kampus dan banyak lagi. Dalam hendak menuju ke penghujung semester pun masih ada banyak lagi tugasan tertangguh. Moga Allah permudahkan semuanya.

Tiga semester yang masih berbaki di hadapan membuat saya kerapkali berfikir ke mana arah tuju saya selepas bergraduasi dari UIAM Gombak dalam bidang bahasa Inggeris dan kesusasteraan ini? 

1. Kahwin?
2. Sambung ijazah sarjana
3. Kerja
4. Buka bisnes multimedia + perusahaan makanan

And there are still a lot of options that I have to choose.

Dalam perkongsian daripada Ustaz Syaari Abdul Rahman dan Ustaz Husni Abdul Rahman dalam sebuah program anjuran IRK Students Society Khamis yang lalu, semangat meneruskan pembelajaran sangat ditekankan. Walau apapun yang kita akan jadi pada suatu hari nanti, kita perlu tanamkan semangat untuk terus belajar dan belajar. Tidak kisahlah jika selepas ini hendak terus belajar tanam jagung, buka kolam ikan atau sebagainya, belajar tetap belajar. Tidak semestinya proses pembelajaran hanya berlaku di kelas, bukan? 

Selain itu, menjadi mahasiswa juga tidak bererti dunia anda hanya tertumpu pada pelajaran sehingga mengabaikan dunia sekeliling. Soal politik, kewangan negara dan isu-isu yang berlaku di sekitar kampus perlu dititikberatkan juga agar kita tidak tergolong dalam golongan yang dipanggil sebagai "ignorance". Jadi mahasiswa yang cakna dengan keadaan sekeliling sebab Ustaz Husni ada menyebutkan bahawa,

"Siapa yang tidak mahu mengambil tahu urusan Muslim maka dia bukan sebahagian daripada Muslim."

Cukup setakat ini sahaja perkongsian pendek saya kali ini. Semoga kita semua dapat menjadi orang yang peka dan sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Wassalam.

Friday, September 27, 2013

Automotive Skill 1

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, dah tiga minggu merantau di bumi Gombak ini, dan tiga minggu jugalah bergelar pelajar tahun ketiga. Jika diberi keizinan, Jun 2015 saya akan tamat belajar ijazah pertama. Dalam kepala dah banyak perancangan sebenarnya (selain dari mendirikan rumah tangga). Hahaha.

Entri kali ini saya ingin kongsikan tentang salah satu subjek baru yang saya pelajari pada semester ini, iaitu Automotive Skill. Tiba-tiba ada orang bertanya,

"Eh, kakak ni kan course BENL? Dah tukar course ke kak?"

Tak adalah, saya masih lagi menjadi pelajar BENL yang setia. Cuma untuk pelajar tahun ketiga khususnya, kami dikehendaki untuk mengambil subjek kemahiran di bawah kokurikulum. Ada banyak cabang subjek dalam silibus kokurikulum UIAM Gombak, termasuklah Automotive Skill. Apa yang menarik tentang subjek ini ialah ia melibatkan teori dan juga praktikal, sesuatu yang jarang diperoleh dalam subjek-subjek lain yang kebanyakannya hanya bersandarkan pada teori. Kalau jurusan kejuruteraan selalu dikaitkan dengan kaum lelaki, tetapi tidak bagi Automotive Skill. Sebelum mula masuk ke kelas pada jam lima petang tadi, hati dah tak tentu arah mengenangkan dah tentu saya seorang sahaja pelajar perempuan tetapi alhamdulillah, ramai rupanya sisters di UIAM yang berminat dengan subjek ini.

Berminat.. atau terpaksa ambil sebab dah tak ada pilihan lain memandangkan subjek lain dah penuh? Kih kih kih.

Apa-apapun jawapannya, itu terserah kepada diri masing-masing. Apa yang membuatkan saya berminat untuk mengikuti kelas kemahiran automotif ialah untuk membuktikan bahawa orang perempuan pun tahu selok-belok bidang automotif ini. Yalah, nak belajar engineering tak lepas jadi saya gunakan peluang untuk belajar automotif ini sebagai kegunaan masa hadapan. Mana tahu kalau kereta mak dan abah di rumah rosak tiba-tiba, dapatlah saya gunakan ilmu yang saya pelajari dalam kelas dan mengaplikasikannya. Tak rugi pun kalau perempuan nak mendalami bidang lelaki ini, kita dapat buktikan yang kaum perempuan bukanlah kaum yang lemah!

Instructors bagi subjek ini semuanya lelaki yang diketuai oleh Bro. Meor. Alhamdulillah, semuanya ceria, peramah dan bersahaja. Tak kekok sangat pun walaupun semuanya lelaki. Rasa makin tak sabar nak menunggu kelas minggu hadapan pula. Kata instructor, untuk kelas yang akan datang kami akan melakukan tugasan berkumpulan. Selain dari itu, kami juga akan mempelajari bab enjin kereta, cooling system, steering, cara tukar minyak brek dan lain-lain lagi (lupa nak catat apa Bro. Meor beritahu tadi). Dan kami juga akan diberi peluang untuk masuk ke bawah kereta dan buat apa yang perlu seperti yang ditugaskan. Wah, semakin tak sabar dibuatnya!

Doakan saya berjaya menjadi mekanik separuh masa yang berjaya.

Wassalam.

Thursday, June 27, 2013

Review Album - Inteam (Iman & Aman)

Assalamualaikum.

Inteam kembali dengan album terbaru mereka yang ke-8. Kali ini setiap lagu diberikan nafas yang lebih segar dengan penampilan bekas ahli kumpulan Inteam seperti Suhaimi dan Hisyam (penyanyi kumpulan nasyid De Hearty).

Apa-apapun, jom layan pra-dengar album ini dahulu.


Track kegemaran saya ialah semua. Jangan ditanya kenapa selagi anda tidak mendapatkan lagi album ini. Untuk perincian setiap lagu anda boleh bacanya di http://munsyeed.com/v1.9/2013/06/review-inteam-iman-aman/. Lagu-lagunya kebanyakan memberi motivasi untuk kita memperbaiki diri demi berjuang untuk Islam, jangan mudah patah semangat dan tidak lupa lagu kasih dan sayang antara suami isteri menerusi lagu mereka bersama Edcoustic iaitu Kau Diciptakan Untukku. Siap ada sebut "belahan jiwa" lagi (belahan jiwa itu maksud nama saya). Tragedi Taif hasil gandingan bersama UNIC juga tidak mengecewakan. Sayu rasanya apabila mendengar. Rentak lagu-lagu yang catchy in shaa Allah dapat menarik semua golongan untuk sama-sama menghayati makna di sebalik sesebalik lagu.

Terus sokong industri nasyid tempatan ya.

Wassalam.

Saturday, June 22, 2013

Bahaya riak

Assalamualaikum.

Riak? Takabbur? Berbangga dengan amalan yang dilakukan? Menunjuk-nunjuk? Tahukah anda semua ini tergolong dalam kategori syirik khafi?

Syirik - perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah. 

Syirik khafi - syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Zaman sekarang tidak perlu tengok jauh-jauh untuk kenal pasti apabila berlakunya syirik khafi ini. Merata-rata tempat ada. Tetapi saya ingin fokuskan dalam konteks laman sosial. Sesetengah orang suka mengemaskini status Facebook dan Twitter dengan aktiviti yang mereka lakukan setiap waktu. Bayangkanlah, hendak pergi mandi pun update dalam Facebook. 

I am wondering what is happening in this world nowadays?

Jadi apa kaitannya dengan syirik khafi?

Kawan-kawan, sedarkah anda sifat riak yang ada dalam status Facebook dan Twitter itu sebenarnya bakal memusnahkan amal ibadat kita? Saya ambil contoh, seseorang yang terbangun awal pagi dan terus update Facebook/Twitternya:

"Terjaga pula. Nak solat tahajud dululah."

Contoh-contoh yang lain:

"Hari ini baca al-Quran sampai lima muka surat."

"Waktu Asar dah masuk. Nak kena pergi masjid ni."

Sebenarnya status ini tiada masalah pun cuma apabila disertakan dengan perasaan riak dan menunjuk-nunjuk amalan yang kita lakukan, apakah nilai yang masih ada pada amalan-amalan ini?

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat ke-264:


"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhrat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada kaum yang kafir."
Dalam satu lagi firman-Nya yang bermaksud: 


“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Ini sahaja perkongsian saya untuk entri ini. Semoga kita terhindar daripada melakukan perbuatan syirik khafi tanpa kita sedari.

Wassalam.

Sunday, June 9, 2013

Officially ended

Assalamualaikum.

Pejam celik, Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi. Bagaimana dengan persiapan masing-masing? Puasa ganti sudah selesai?

Alhamdulillah, semester kedua bagi sesi 2012/2013 telah berakhir setelah saya selesai menjawab kertas English Literature: 20th Century and Contemporary. Saya bakal bercuti sehingga awal September. Moga dapat mengisi masa dengan sesuatu yang berguna. Cepat sungguh masa berlalu. Sudah cukup dua tahun meraih butir-butir pengalaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tahun ketiga nanti pasti akan menyaksikan pelbagai cabaran daripada segenap sudut. Subjek-subjek pula semakin tough sebagai persediaan menjadi graduan Bahasa Inggeris yang ada kelas tersendiri.

Walau apapun, kenangan sepanjang semester dua ini tidak mungkin saya lupakan. Memori bersama para pensyarah yang cukup dedikasi dan sporting cukup membahagiakan. Saya akan merindui lawak sinis Dr. Mahmud selaku pensyarah bagi subjek peperiksaan pagi tadi, Dr. Subramaniam dengan cerita-cerita semioticsnya, Ustaz Muntaha Artalim dengan taujihat berguna tentang ilmu fiqh dan syariah serta Dr. Maizatun selaku pembimbing bagi subjek Family Management yang tidak lokek berkongsi ilmu tentang alam perkahwinan dan ilmu keibubapaan.

Tidak terkecuali ayat-ayat daripada Ustaz Muntaha yang masih segar dalam ingatan. Katanya,

"Filzah, nanti sudah graduasi cepat-cepat menikah. Bukan apa, kalau ditangguh nanti makin lambat pula kahwin.."

*ayat-ayat di atas telah diubah suai mengikut kesesuaian*

Somehow, sejak ustaz panggil saya dengan nama Filzah, saya jadi suka apabila orang lain memanggil seperti yang demikian. Terima kasih juga atas doa assabiqunal awwalun itu. Moga Allah merahmati ustaz dan seluruh keluarga.

Tidak dilupakan buat pensyarah-pensyarah lain yang banyak membantu terutamanya Dr. Ainon, Ustaz Azahari dan Dr. Ismail yang baik hati. Kata orang, pengalaman itulah guru yang paling berguna. Dan, apabila menjadi pendidik, jangan sekadar menjadi mu'allim, tetapi juga murabbi. In shaa Allah, moga bermanfaat buat diri ini yang juga bercita-cita menjadi pensyarah suatu hari nanti jika diizinkan.

Wassalam.

Sunday, June 2, 2013

Sembilan Hari

Assalamualaikum.

Hari pertama (23 Mei 2013)

Bersiap-siap untuk pulang menguruskan walimah ayah saudara saya di Perlis. Lebih kurang jam 5.30 petang, sahabat saya yang telah lama dinanti akhirnya tiba di UIA. *Ilyani, kita rindu awak sangat-sangat!* Sampai sahaja bilik, kami terus berbual panjang. Almaklumlah sudah beberapa bulan tidak bersua muka walaupun setiap hari tidak pernah putus bertanya khabar. Beliau menemani saya berbuka puasa, sambil sambung berborak sampailah ketibaan kami di Puduraya. Masa tunggu bas, sembang lagi. Bas tersangatlah lambat, sepatutnya tiba jam 11.30 malam tetapi pada jam 2.30 pagi barulah kami dapat menaikinya. Masuk bas, masing-masing sudah kepenatan, namun sempat lagi menikmati Marrybrown dan akhirnya kami tertidur dalam keletihan.

Hari kedua (24 Mei 2013)

Selamat sampai di Perlis lebih kurang jam sembilan setelah menempuhi perjalanan yang cukup memenatkan. Sampai sahaja di rumah, meriah sungguh dengan kehadiran orang kampung yang turut membantu pasang khemah, memasak dan sebagainya. Petang itu, kami ke homestay keluarga saya di Kedah dan beliau turut membantu saya, mak dan abah mengemas. Rajin sungguh!

Balik rumah sekembalinya dari membeli barang untuk kenduri di bandar Arau, tugasan kenduri perlu diselesaikan. Bahagian untuk kami sebagai orang muda ialah bungkus goodie bag. Banyak betul, malamnya baru siap semua benda. Tapi sempat lagi menonton The Apprentice Asia.

Hari ketiga (25 Mei 2013)

Hari kenduri! Tidak menang tangan dibuatnya. Khidmat tenaga muda sangat diperlukan *padahal saya dan Ilyani kerjanya menonton TV*. Sampai sahaja pengantin di rumah, apalagi budak dua orang ini. Bertukarlah mereka menjadi photographer tidak bertauliah. Letihnya kenduri sampai malam terasa. Tapi kami masih sempat menonton cerekarama bersama-sama, hihi.

Hari keempat (26 Mei 2013)

Masa dihabiskan di rumah, mengemas dan menghabiskan makanan yang banyak itu. Malamnya kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur, dan Ilyani masih sempat meluangkan masa membantu saya mengulangkaji subjek Bahasa Arab disebabkan petang keesokan harinya saya akan menduduki peperiksaan akhir semester. Bas tiba jam sebelas malam, masuk sahaja bas terus tertidur keletihan sehinggalah tiba di KL.

Hari kelima (27 Mei 2013)

Sampai UIA jam lapan pagi dan terus sambung tidur. Betapa letihnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Petangnya jam dua saya bergegas ke Kulliyyah of Engineering untuk peperiksaan pada jam tiga petang. Letih yang masih berbaki digunakan sebagai alasan untuk berehat selepas Maghrib sampailah ke pukul dua pagi. Bangun solat Isyak, dan masing-masing melayan lagu Hindustan. Hahaha, inilah kami.

Hari keenam (28 Mei 2013)

Pagi yang ditemani dengan hujan yang rintik-rintik di UIA. Namun tidak mematahkan semangat saya untuk membawa Ilyani berjoging di Female Sport Complex pada saat insan lain sibuk berjalan menuju ke dewan peperiksaan. Dan pertama kali jugalah saya berjoging di sini sepanjang menjadi pelajar UIA selama hampir dua tahun.

Jam sebelas pagi, kami ke KLCC bersama-sama dengan dua kenalan Ilyani, iaitu Dani dan Leeza. Apalagi, Kinokuniyalah tempat kunjungannya. Kemudian, kami berempat ke Taman Tasik Titiwangsa untuk menikmati makan tengah hari di sana. Cantik sangat tempatnya, tak sempat hendak bergambar disebabkan terlalu asyik berborak.

*Awak, thanks for the Ochado yang sangat sedap itu. Dapatlah merasa*

Hari ketujuh (29 Mei 2013)

Keluar lagi! Kalau ada Ilyani memang tak lekatlah di bilik. Hari ini ke Jalan TAR pula untuk mencuci mata, sambil ditemani cendol pulut sebagai pembasah tekak. Serius seronok sangat!
Malamnya, saya buli Ilyani bacakan saya Semantics. Kasihan beliau. Hahaha.

Hari kelapan (30 Mei 2013)

Kami berkunjung dan ziarah ke rumah salah seorang kakak kesayangan, Intan Farhana Idris. Jika anda masih ingat, saya selalu ceritakan tentang Kak Intan dalam entri-entri dahulu. Sekarang, Kak Intan sudah berumah tangga dan bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi. Cepatnya masa berlalu.


Hari kesembilan (31 Mei 2013)

Penghujung Mei menjadi saksi perpisahan ini. Menghantar Ilyani kembali ke pangkuan keluarga setelah saya meminjamnya selama seminggu. Yang mampu saya katakan sepanjang sembilan hari bersama beliau, banyak perkara yang kami kongsikan. Kata-kata motivasi, gurau senda, kongsi makanan, solat jemaah dan buli-membuli. Cuma kami masih belum berkesempatan bangun solat malam bersama disebabkan asyik terlajak. Sembilan hari berlalu begitu pantas. Terasa bagai sekelip mata.

Okey dah mula rasa sedih. Nanti nangis lagi sebagaimana tangisan malam sebelum peperiksaan Semantics 1 Jun lalu. 

Wassalam.

Saturday, January 26, 2013

Jaulah Melaka 2012

Assalamualaikum.

Lama tak update blog. Sebenarnya saya nak bercerita tentang jaulah saya ke Melaka baru-baru ini. Alhamdulillah setelah sekian lamanya, saya kembali menjejakkan kaki ke tanah bersejarah ini. Last pergi masa sekolah rendah, itu pun bersama rombongan sekolah. Kalau pergi sendiri, jangan haraplah. Abah memang tak rajin nak drive jauh-jauh.

HARI 1 (22 Disember 2012)

Jam 12 tengah hari lebih, saya dan Mirza bertolak dari UIA menggunakan kenderaan awam yang tersedia. Lebih kurang jam 1 lebih kami tiba di Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan. Terasa 'jakun' seketika sebab betapa canggihnya TBS! Pudu Sentral pun tak canggih begitu.

Terus menuju ke kaunter tiket. Alamak! Ramai pula orang. Jeling-jeling mesin jual tiket agak lengang jadi kami terus ke sana. Agak 'jakun' juga hendak menggunakan mesin untuk beli tiket. Maklumlah, di Pudu Sentral mana ada semua itu. Tiket kami jam 2.30 petang, menaiki Metro Bus.

Lebuh raya agak sesak terutamanya di Plaza Tol Nilai. Sepatutnya dari KL-Melaka hanya makan masa 2 jam saja, tetapi kami sampai di Melaka Sentral jam 5 ke atas. Setibanya kami di sana, kawan saya (yakni tuan rumah yang bakal kami tumpangi) datang bersama ibunya, terus dibawa menikmati mi sup di Tengkera. Ramai sangat pelanggan! Melayu, Cina dan India semua ada.

Kami sampai di rumah kawan (di Bukit Rambai) lebih kurang jam 6.45 petang. Terus berehat, solat dan makan lagi, hehehe. Sempat lagi bergosip selepas makan malam, biasalah bila hampir setahun tak berjumpa.

HARI 2 (23 Disember 2012)

Pagi yang indah! Dijamu dengan sarapan istimewa mi goreng hasil air tangan ibu Syafiqah. Sempat menonton TV seketika, sebelum bersiap-siap untuk keluar 'merayau' di Bandar Melaka. Jam 12 tengah hari, kami menunggu bas. Lama juga menunggu, nasib baik ada bas ke Melaka Sentral. Selepas itu kami bertiga perlu tukar bas untuk ke Bandar Melaka. Kemudian, kami sampai betul-betul di hadapan Dataran Pahlawan Mall, terus masuk untuk ke restoran (perut sudah bergendang-gendut!). Station Kopitiam menjadi pilihan, dan saya memilih untuk menyantap hidangan nasi goreng Thai.

Lepas menyantap, terus solat dan sambung berjalan-jalan lagi dalam Dataran Pahlawan Mall sampai nak tercabut kaki rasanya. Lepas di DP, sambung lagi ke Mahkota Parade yang terletak sangat dekat dengan DP, hanya perlu lintas jalan saja. Kami meneruskan perjalanan lagi ke A Famosa. Lama sangat tak datang sini, tak tahu pula sebelah-menyebelah dengan Mahkota Parade. Banyak gila beca warna-warni, teringin nak naik tapi bila tengok harga, alamak! RM40 sejam. Okey, terbatal hasrat dan terus berjalan ke Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Kami terus berjalan dan berjalan. Ya, berjalan sampai habis putus kasut saya. Itu pun masih sempat lagi merayau ke Istana Kesultanan Melaka dan Taman Larangan Istana. Nekad tak? Hahaha. Oh ya, bayaran masuk ke Istana Kesultanan Melaka hanya RM2 seorang. Kami terus menuju ke dalam istana dan taman larangan.

Puas berjalan di bawah bukit, kami teruskan ekspedisi ke atas bukit pula. Ya, mendaki bukit untuk ke puncak Kota A Famosa dengan kasut yang putus! Sempat lagi singgah di gerai yang menjual aneka cenderahati untuk dibawa pulang ke KL di lereng bukit.


Turun bukit, terus pergi melawat Bangunan Merah di bawah. Habis tawaf gerai-gerai di sekeliling Stadhuys, kami berpatah balik sebab nak beli kasut baru. Masuk balik ke Dataran Pahlawan Mall, terjumpa Polo buat sale besar-besaran, sempat juga rembat kasut baru dengan diskaun hebat! Langit beransur gelap, dan kami memutuskan untuk segera pulang. Sampai rumah dalam jam 9 malam. Dahsyat?

HARI KETIGA (24 Disember 2012)

Awal pagi, kami masih di rumah. Sarapan, kemudian tolong Syafiqah masak. Petangnya kami dibawa ibu kepada Syafiqah untuk ke Perigi Hang Tuah dan ziarah rumah saudara mereka di Limbongan.


HARI KEEMPAT (25 Disember 2012)

Hari terakhir di Melaka. Kami perlu pulang ke KL. Kalau ikutkan hati, memang keberatan gila nak balik tapi mengenangkan ada kelas ulangkaji subjek novel pada 27 Disember, kami memang kena balik segera. Okey, dapat tiket bas jam 11 pagi. Rasa sayu nak tinggalkan Syafiqah dan keluarga yang baik hati tetapi apakan daya. Tepat jam 1 kami tiba di TBS, terus ke KL Sentral dan pulang ke UIA dan meneruskan kehidupan seperti biasa sebagai seorang pelajar UIA. Kepada Syafiqah dan keluarga, terima kasih ya sudi menerima kunjungan kami? Budi baik kalian akan selalu dikenang. Nanti kami datang lagi, hehehe. Next jaulah? Mungkin ke Kuala Kangsar pada Tahun Baru Cina nanti.

Wassalam.