Saturday, March 31, 2012

UIA, dan English Placement Test (EPT)

Assalamualaikum.

Dulu saya pernah bercerita tentang isu Bahasa Arab dan Asasi Bahasa Inggeris di UIA. Jadi pada entri kali ini saya akan kongsikan pula cerita mengenai English Placement Test (EPT) yang diadakan setiap kali minggu orientasi program Asasi di UIA.

Semua pelajar intake baru WAJIB untuk menduduki ujian ini, melainkan bagi mereka yang sudah pun mengambil peperiksaan IELTS dan TOEFL sebelum mendaftar di UIA. Boleh cari di internet untuk maklumat yang lebih terperinci.

"Kenapa ujian ini penting bagi semua pelajar new intake?"

Pertamanya, ujian ini penting, sama penting juga seperti Arabic Placement Test (APT) untuk menentukan tahap proficiency anda dalam kedua-dua bahasa tersebut. EPT sama juga konsepnya seperti MUET (Malaysian University English Test) yang merangkumi ujian reading, writing, speaking dan listening. Cuma aspek pendengaran tidak dimasukkan dalam EPT, dan ujian percakapan hanya dilakukan semasa peperiksaan akhir semester. Peringkat (atau kami gelarkan sebagai level) yang terbaik ialah EXIT, atau dalam erti kata lain anda LULUS. Ini bermakna anda terselamat daripada menghadiri sebarang kelas Bahasa Inggeris sepanjang pengajian anda di peringkat asasi.

Satu keuntungannya apabila exit selain daripada tidak perlu hadir ke kelas ialah, anda tiada peperiksaan akhir, tidak perlu buat projek kelas setiap semester, dan yang utama anda dapat menjimatkan tempoh pengajian. Bagaimana? Nanti saya akan terangkan.

"Jika gagal mendapat level EXIT, bagaimana pula?"

Kena pergi kelas, buat projek kelas dan macam-macam lagi. Jumlah contact hour (jam bertemu pensyarah dalam seminggu) juga bertambah. Contoh study plan di bawah:

Saya, seorang pelajar Asasi BI yang mendapat level 6 EPT:

Bahasa Inggeris-9 jam seminggu
Drama-3 jam seminggu
Oral Communication Skill- 3 jam seminggu
Grammar- 3 jam seminggu
Introduction to Human Sciences- 3 jam seminggu
Arab- 8 jam seminggu
Jumlah jam seminggu: 29 jam seminggu

Didi, seorang pelajar Asasi BI yang EXIT EPTnya:

Drama-3 jam seminggu
Oral Communication Skill- 3 jam seminggu
Grammar- 3 jam seminggu
Introduction to Human Sciences- 3 jam seminggu
Arab- 8 jam seminggu
Jumlah jam seminggu: 20 jam seminggu

*jumlah jam berbeza mengikut kursus

Saya ingin tekankan bahawa ini tertakluk bergantung kepada kursus anda nanti. Bagi pelajar Asasi Bahasa Inggeris, requirement memang agak tinggi untuk ambil subjek teras (seperti Drama, Oral Communication etc) jadi hanya pelajar yang berjaya mendapat level 6 dan exit sahaja yang layak mendaftar bagi subjek teras. Jika anda berada di bawah level 6, anda tidak boleh mendaftar subjek teras lagi, sebaliknya anda perlu menghabiskan subjek Bahasa Inggeris anda sehingga level 6. Untuk kursus lain, mungkin level 5 sudah boleh ambil subjek kursus anda. Agak rumit, namun ada hikmah :)

"Adakah sistem ini menghalang pelajar daripada bergraduasi dalam tempoh setahun?"

Saya jawab ya dan tidak.

Contohnya ialah adik kedua saya sendiri, Firdaus yang kini mengambil kursus Asasi Undang-undang di UIA. Pada EPT ketika minggu orientasi, beliau mendapat level 4. Dan sepatutnya dia akan ke level 5, 6 sehinggalah exit pada semester-semester yang akan datang. Secara kasar dia mungkin akan bergraduasi dalam tempoh dua tahun akan datang. Ditakdirkan Allah, alhamdulillah adik saya ini terus exit pada peperiksaan akhir semesternya dan dia sudah mula mendaftar bagi subjek kursus undang-undang pada semester kedua. Boleh nampak atau tidak yang masa dijimatkan di sini?

Faham? 

"Kalau tidak exit/naik ke level seterusnya?"

Macam biasa, anda perlu mengulang subjek ini sehingga lulus (exit) pada semester hadapan. Dan semestinya akan memusnahkan study plan yang telah dirancang.

Contoh terdekat ada pada saya sendiri. Saya memulakan Bahasa Inggeris dengan level 6. Malangnya (Allah hendak uji) saya gagal melepasi peperiksaan akhir dan perlu mengulang semula subjek ini. Ini menyebabkan saya perlu drop beberapa subjek teras yang saya ambil pada semester hadapan dan mengambilnya semula pada semester yang akan datang. Hal ini disebabkan UIA tidak menggalakkan pelajar mengambil banyak contact hour dalam satu semester. Dalam bahasa mudah, saya perlu extend semester dan sudah tentu melambatkan proses saya untuk bergraduasi.













Wednesday, March 28, 2012

UIA-Asasi Bahasa Inggeris

Assalamualaikum. 

Entri khas untuk adik-adik lepasan SPM. Sudah pilih bidang pengajian dalam UPU? Kalau sudah, alhamdulillah. Sabarlah menunggu keputusannya nanti ya? In shaa Allah seiring dengan kecemerlangan keputusan itu dapatlah universiti yang diidam-idamkan. Ada yang mohon UIA? 

Saya akan bercerita tentang salah sebuah program asasi yang ada di UIA, iaitu Asasi Bahasa Inggeris. Ramai rupanya yang tersalah mengerti dan menyamakan Asasi BI di UIA adalah sama dengan Asasi TESL di UiTM. Tidak sama sekali ya? Untuk pencerahan, Asasi TESL merujuk kepada Teaching English as a Second Language. TESL memang dikhususkan untuk pengajaran di sekolah, tetapi tidak semestinya bagi Asasi BI.

Saya merupakan pelajar lepasan Asasi BI di UIA. Sekarang (saat entri ini diedit semula), saya sudah berada dalam tahun kedua di UIA Gombak dalam bidang Bahasa Inggeris & Kesusasteraan. Saya pun pada mulanya keliru juga, apa bezanya Asasi BI dan Asasi TESL ini? Alhamdulillah, pensyarah kursus ini banyak menerangkan tentang apa yang bakal kami hadapi sepanjang tahun pengajian nanti. Kata pensyarah saya, tidak semestinya graduan Bahasa Inggeris di UIA akan menjadi cikgu atau pensyarah. Skop kerjaya untuk graduan kursus ini sangat luas. Contohnya boleh diserap ke bahagian komunikasi, perbankan dan banyak lagi bidang yang memerlukan graduan lepasan Bahasa Inggeris. Contoh terdekat ialah pensyarah saya sendiri yang pernah berkhidmat di Media Prima Berhad & Astro sebagai penulis sari kata televisyen (subtitlist). 

Berikut adalah di antara subjek yang akan dipelajari bagi pelajar Asasi BI di UIA. Mungkin terdapat beberapa perubahan yang berlaku dari tahun ke tahun.

Subjek teras:
Semester I:
1. Reading & Analytical Thinking: Drama
2. Oral Communication Skill
3. Introduction to Human Sciences
4. Grammar

Semester II:
1. Reading & Analytical Thinking: Poetry
2. Introduction to the Study of English Language
3. Basic Research Method
4. Introduction to Critical Thinking
5. Introduction to Islamic Revealed Knowledge

Dan antara subjek sampingan seperti English Language, Arabic Language dan Computer. Oh ya, juga ada subjek dari Leadership and Training Department iaitu Study Circle/Fardhu Ain/Tilawah. 

Jangan risau apabila anda kurang menyerlah dalam bahasa Inggeris. Pensyarah tidak lokek memberikan pendedahan tentang kursus dengan lebih mendalam pada waktu minggu taaruf nanti. Oh ya, ke mana arah tuju lepasan CFS dalam bidang Asasi BI ini apabila hendak menyambung ke pengajian peringkat ijazah sarjana muda?

Saya akui memang skop tidak luas apabila ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Hanya ada dua pilihan sahaja iaitu:

1. Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa Inggeris & Kesusasteraan)
2. Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL)

Untuk TESL, anda perlu memohon melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Jika anda tidak memohon TESL, secara automatiknya akan diserap ke bidang Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan. Satu kelebihan di UIA ini ialah anda tidak perlu mengisi semula UPU selepas tamat asasi ini. 

Entri lain yang mungkin membantu anda:

UIA dan Bahasa Arab (http://nurshifatuzzinnirah.blogspot.com/2012/03/uia-dan-bahasa-arab.html)
UIA dan English Placement Test (http://nurshifatuzzinnirah.blogspot.com/2012/03/uia-dan-english-placement-test-ept.html)






Thursday, March 22, 2012

UIA, dan Bahasa Arab...

Assalamualaikum.

Saya hendak menjawab persoalan ramai yang bertanya,

"Bolehkah memohon UIA jika tiada langsung asas dalam Bahasa Arab?" dan bermacam-macam lagi persoalan tentang UIA.

Saya akan menjawab berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya sendiri, in shaa Allah.

Ramai yang teragak-agak untuk memohon pengajian di UIA disebabkan Bahasa Arab yang sangat ditekankan di universiti. Tidak kurang juga ramai yang ditakut-takutkan untuk mempelajari bahasa ini. Kenapa hendak takutkan Bahasa Arab? Persoalannya di situ.

Kalau adik-adik dapat tawaran di UIA, jangan takutkan bahasa Arab. Masa taaruf week (minggu orientasi) akan ada satu ujian khas untuk menentukan pencapaian kita dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Persoalannya lagi di sini ialah,

"Kenapa mesti diadakan ujian Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dalam minggu orientasi ini?"

Semestinya. UIA sangat menitik beratkan kedua-dua jenis bahasa ini sepanjang pengajian. Oleh sebab itu UIA mengambil inisiatif untuk mengadakan English & Arabic Placement Test untuk menilai sejauh mana pencapaian pelajar baru, dan demi memastikan pelajar-pelajar mempunyai kemahiran yang tinggi dalam kedua-dua bahasa ini. Suatu perkara yang sangat lain daripada universiti lain, bukan? Untuk pengetahuan semua, UIA menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Jadi, apa gunanya menjadi pelajar UIA jika tidak tahu berbahasa Inggeris dan Arab?

Persoalan lagi:

1. Bolehkah memohon UIA jika tiada langsung asas dalam Bahasa Arab atau bukan dari sekolah agama? 
2. Kalau tidak tahu langsung Bahasa Arab, bagaimana mahu menjawab ujian nanti?
3. Kalau gagal, adakah kena dismissed dari UIA?

Dan macam-macam lagi persoalan yang pernah diajukan. 

Dan saya akan cuba menjawabnya dengan semampu mungkin.

1. UIA untuk semua, tidak hanya terhad kepada pelajar lepasan STAM atau sekolah agama sahaja. Lagipun, UPU tidak mengehadkan permohonan masuk ke UIA hanya untuk pelajar sekolah agama.

2. Bagi persoalan kedua, tidak perlu risau jika tiada asas Bahasa Arab. Saya dulu pun, walaupun belajar Arab di sekolah (saya bukan pelajar aliran agama), apabila mendaftar di UIA memang saya sudah lupa semuanya. Jadi, pada kertas ujian tersebut ada minta ditanda dalam ruangan yang disediakan jika anda tidak mahu menjawab soalan dalamnya. Mudah, bukan? Bagi yang sudah ada asas, jawablah walaupun sedikit. Secara default, anda akan ditempatkan di level 1 part 1 bagi yang tiada asas langsung. Jadi tidak perlu risau!

3. Kalau gagal? Mustahillah. Rakan saya yang memang mula belajar Arab di UIA pun tiada yang pernah gagal lagi. Jika tidak faham sesuatu yang ustaz/ustazah ajar, cepat-cepat bertanya. Bukan apa, sesetengah pensyarah ajar dengan laju. Tetapi pesanan saya, gagal sewaktu ujian permulaan ini lebih baik daripada gagal sewaktu peperiksaan akhir. Itu akibatnya anda perlu mengulang semua subjek ini sehinggalah lulus.

Alhamdulillah, seronok sangat belajar bahasa syurga ini. Tidak pernah bosan dari zaman asasi sehinggalah undergraduate sekarang. Saya berterusan belajar Bahasa Arab sehingga ke level 6 bagi kursus di bawah Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences.

Sebarang persoalan boleh dikemukakan di izzfiez@gmail.com. www.facebook.com/filzati.noor atau di Twitter @filzatiNFZ.