Monday, October 29, 2012

28.10.2012-The Hectic Journey Ever

Assalamualaikum.

Tanggal 28 Oktober 2012, jam 9 pagi.

Saya masih menanti-nanti ketibaan bas Transnasional di Stesen Bas Kangar yang akan membawa semula saya ke tempat pengajian. Seperti diduga, bas yang dinanti tidak muncul tiba pada jam yang dijadualkan. Marah, letih dan lapar menguasai diri. Oh, mungkin Allah sedang menguji saya?

Jam 11.30 pagi.

Bas gantian tiba. Bas itu sepatutnya tidak digunakan kerana akan membawa penumpang ke Shah Alam & Klang pada sebelah malamnya. Semasa menunggu, saya dikhabarkan bas yang sepatutnya tiba jam 9 pagi tadi mengalami kerosakan. Tiba di Stesen Minyak Ayer Hitam, Kedah, kami diarahkan untuk turun bas dan naik bas lain yang telah sedia menanti di sana. Saya masih bersabar.

Lebih kurang jam 3 petang ke atas.

Kami terperangkap di persimpangan keluar Seberang Jaya. Sangkaan saya, ini perkara biasa. Laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang memang sentiasa sesak dengan kenderaan. Bas bergerak dalam kelajuan 20-30 km/sejam. Sungguh menyeksakan apabila saya yang baru sahaja terjaga dari tidur melihat kesesakan di hadapan mata memandangkan saya duduk di tempat duduk di belakang pemandu.

Jam 5 ke atas.

Menakjubkan! Kami masih belum dapat bergerak sempurna. Plaza Tol Juru juga sesak! Saya masih letih dan lapar. Sepatutnya pada jam ini kami sudah berada "somewhere in Perak". Saya menjangkakan pasti kami akan tiba lewat di Kuala Lumpur.

Lebuhraya masih sesak. Kerusi bas yang sempit sungguh tidak menyelesakan (rasanya saya sudah tidak patut menggunakan khidmat bas tersebut lagi, oh!). Nasib baik bas singgah di Hentian Sebelah Bukit Gantang. Dapatlah saya solat jama' qasar dan makan seadanya.

Sedar tidak sedar, kami berjaya meloloskan diri daripada kesesakan. Bagaimanapun kegembiraan itu hanya sementara. Perjalanan menjadi semakin lambat apabila jalan sesak kembali sebelum persimpangan Changkat Jering & Taiping, juga di Ipoh sehingga ke terowong Menora. Seksa! Kesesakan luar biasa yang belum pernah saya lalui seumur hidup.

Langit sudah gelap. Namun kesesakan yang menggila masih belum menunjukkan tanda-tanda akan lancar. Abah dan mak di rumah sudah mula risau apabila jam 11 malam ke atas anak mereka ini masih belum tiba di UIA. Saya sudah runsing. Bagaimana pula saya boleh pulang ke UIA sedangkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan ditutup jam 11.30 malam nanti sedangkan saya masih belum berada dalam negeri Selangor?

Saya dan Farhani (rakan yang turut bersama pulang ke Perlis) berbincang dalam kepekatan malam itu. Kami hanya punya 3 pilihan.

1) Terus pulang ke UIA menaiki teksi dari Puduraya, walaupun kami tahu risiko tambang mahal adalah sangat tinggi.

2) Duduk di McDonald Puduraya sehingga pagi keesokan harinya.

3) Menginap di hotel.

Jalan masih sesak, dan bas masih bergerak dengan kelajuan mungkin 20-30-40 km/sejam. Akhirnya lebih kurang jam 12 malam bas sudah mula masuk ke negeri Selangor. Ya, saat itu saya dan Farhani telah membuat keputusan untuk menginap di hotel sahaja setelah mendapat kebenaran mak dan abah. Alhamdulillah, kesesakan yang bermula sejak di Seberang Jaya tamat selepas persimpangan Rawang. Bas bergerak laju sekali. Nak tercabut juga jantung dibuatnya.

Sampai di Hentian Duta lebih kurang jam 1 pagi. Masih ramai penumpang yang belum menaiki bas. Rupa-rupanya bas yang membawa saya dan penumpang lain itu sepatutnya membawa penumpang dari Hentian Duta ke Kangar & Kuala Perlis pada jam 9.30 malam! Bayangkan berapa jam lamanya mereka perlu menunggu? Masya-Allah.

Jam 1.20 pagi (lebih kurang)

Kami selamat tiba di Puduraya. Letih, mengantuk dan lapar, sambil berjalan dalam kepekatan malam mencari-cari hotel yang sesuai. Alhamdulillah, kami menginap di EV World Hotel yang terletak betul-betul di hadapan Pudu Sentral dengan bayaran RM60 semalam. Tak kisahlah, asalkan kami punya tempat untuk tidur. Sempat lagi ke McDonald's mencari makan malam.

Jam 3 pagi.

Mata sudah menggila minta direhatkan. Selamat malam dunia.

7 pagi (29 Oktober 2012).

Saya hampir terlajak solat Subuh! Nikmat tidur dalam keletihan dan dinginnya penyaman udara hotel! Lepas Subuh terus sambung balik tidur. Niat di hati hendak bangun jam 8, dan bersiap pulang ke UIA disebabkan kelas pada jam 10 pagi. Harapan! Terjaga jam 9 pagi. Bukan main bergegas pulang ke UIA. Mujur beg tak berat sangat. Dalam hati, saya sudah menjangkakan saya takkan sempat ke kelas Hadith nanti. Ah, ponteng lagi!

10 pagi.

Selamat tiba di UIA.

Yeah, kali pertama menempuh perjalanan pulang ke KL selama lebih kurang 13 jam! Lebih baik naik KTMB dari Arau saja.

Wednesday, October 10, 2012

Intellectual Discourse-Kemelut Sosial Remaja: Gangsterisme & Seks Bebas- "Di Manakah Solusinya?"

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.

Allah s.w.t telah memberikan waktu dan kekuatan kepada saya untuk sama-sama hadir ke program Wacana Intelek siri yang ketiga. Untuk pengetahuan anda, program Wacana Intelek bersempena Convest 2012 UIAM ini mempunyai tiga siri. Yang pertama telah pun saya kongsikan dalam entri yang lepas. Siri kedua menampilkan Hilal Asyraf & Yatt Hamzah selaku tetamu undangan tetapi malangnya saya tidak berkesempatan untuk hadir berikutan ada program lain pada masa yang sama. Alhamdulillah Wacana Intelek semalam menyaksikan gandingan mantap dan hebat daripada Dr. Zaharuddin Abd Rahman, seorang pendakwah dan juga merupakan pensyarah di UIA, Ustaz Hasrizal Jamil (seorang penulis juga pendakwah bebas) serta tidak ketinggalan Imam Muda Omar selaku panelis. Tajuk yang dibincangkan ialah berkaitan dengan kemelut sosial remaja dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya.

Insya Allah saya akan kongsikan beberapa isi penting yang sempat saya catatkan semalam.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman:

- Institusi keluarga memainkan peranan yang penting
- Remaja perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan ibu bapa, dan ibu bapa juga perlu kuat dan menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak untuk diikuti
- Contoh boleh dilihat menerusi Surah Luqman: Luqman mengajar anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah, menghargai ibu bapa, mendirikan solat, mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran, bersabar dengan setiap ujian yang diterima, jangan menyombong diri, jangan meninggikan suara dengan orang lain (ciri-ciri gangsterisme)
- Remaja (kebanyakannya lelaki) salah tanggapan tentang erti "macho": buli orang lain, hisap rokok dianggap perkara yang akan menampakkan kemachoan seseorang padahal jauh sama sekali
- Gangsterisme juga disebabkan oleh sifat diri yang suka melihat orang lain ditimpa kesusahan, suka untuk ada kuasa terhadap orang lain, enjoy rasa ditakuti
- Mereka yang terlibat ialah yang suka menjarakkan diri dengan ibu bapa dan menjadikan kawan-kawan itu lebih utama
- Allah s.w.t amat suka dengan orang yang tidak suka melakukan perkara yang tidak elok
- Media sebagai racun dan penawar yang dapat mengawal tindakan manusia
- Jangan ambil perkara yang disampaikan melalui media itu sebagai trend (contoh: tengok filem cinta terus rasa nak bercinta)

Ustaz Hasrizal:

- Barangsiapa yang mengatakan manusia sudah rosak, maka dialah sebenarnya yang paling rosak (seumpama dia sudah berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t)
- Tamadun Greco-Roman (salah satu tamadun berjaya di dunia) runtuh disebabkan masalah keruntuhan moral
- Masalah sosial yang berlaku adalah disebabkan manusia yang mempunyai sifat pentingkan diri sendiri
- Punca utama gangsterisme dan masalah seks bebas ialah jauh dari rahmat Allah s.w.t
- Individu itu sendiri yang gagal mengawal dirinya (mempunyai karakter yang lemah)
- Masalah ini turut berpunca daripada sistem pendidikan awal yang dilihat gagal untuk membentuk jati diri remaja sejak kecil
- Faktor internet: tiada sekatan seumpamanya, remaja lebih menjadi bebas


Imam Muda Omar pula mengajak audiens supaya memandang topik masalah sosial ini dari kaca mata seorang umat Nabi Muhammad s.a.w.

- Kita sebagai manusia ialah umat yang dipertanggungjawabkan untuk menyambung kerja-kerja kenabian (berdakwah seumpamanya)
- Nabi s.a.w menyuntik cahaya keimanan dalam diri sahabat-sahabatnya

Banyak lagi perkara menarik yang dikongsikan oleh ketiga-tiga panelis. Alhamdulillah, jumlah audiens yang ramai menunjukkan program Intellectual Discourse sempena Convest 2012 ini mendapat sambutan yang cukup hangat. Semoga tradisi majlis ilmu di bumi UIAM akan tetap diteruskan, biarpun Convest 2012 akan melabuhkan tirainya esok.

Wassalam.

Friday, October 5, 2012

Intellectual Discourse: Menjengah Sirah Nabi - Membentuk Muslim Berpemikiran Produktif

Assalamualaikum.

Alhamdulillah 3 Oktober yang lepas, saya berkesempatan menghadiri sebuah program yang dianjurkan bersempena dengan Convocation Fiesta UIAM Gombak 2012. Program Wacana Intelektual bersama Imam Muda Asyraf & Daie Muda Nizam Zulfikar yang membawakan tajuk Menjengah Sirah Nabi: Membentuk Muslim Berpemikiran Produktif diadakan di Auditorium Utama.

Saya ditemani sahabat tersayang, Farhani ke majlis ilmu ini. Pengisian program ini sangat berguna dan menyentuh kalbu apabila saudara Daie Muda mula menceritakan tentang kisah Rasulullah s.a.w tatkala baginda akan wafat dan sebagainya. Imam Muda Asyraf juga tidak ketinggalan dalam memberikan perkongsian ilmu kepada semua yang hadir pada malam itu.

Antara yang disampaikan oleh kedua-dua panel ialah (yang sempat saya catatkan):

- Tujuan utama orang produktif hidup ialah Allah s.w.t (Allahu ghayatuna)
- Sebaik-baik manusia itu ialah orang yang mampu memberikan manfaat kepada orang lain. 
- Sebagai seorang manusia, kita sebagai hamba Allah perlu berniat Lillahi Taala dalam melakukan apa jua  pekerjaan. 
- Orang yang tidak beriman kebanyakannya datang daripada golongan yang malas mengambil tahu hal sekeliling.
- Sebab utama orang Islam menjadi mundur ialah kerana meninggalkan kitab al-Quran, padahal orang bukan Islam sibuk mengkaji Quran dan mereka lebih maju daripada orang Islam sendiri.
- Dengan mengkaji al-Quran kita dapat mengenal Allah s.w.t dan ciptaan-Nya.
- Cara utama untuk menanamkan sifat cintakan Nabi Muhammad? --> Sejak dari kecil anak-anak perlu dipupuk untuk membaca sirah Nabi

Wassalam.