Monday, October 29, 2012

28.10.2012-The Hectic Journey Ever

Assalamualaikum.

Tanggal 28 Oktober 2012, jam 9 pagi.

Saya masih menanti-nanti ketibaan bas Transnasional di Stesen Bas Kangar yang akan membawa semula saya ke tempat pengajian. Seperti diduga, bas yang dinanti tidak muncul tiba pada jam yang dijadualkan. Marah, letih dan lapar menguasai diri. Oh, mungkin Allah sedang menguji saya?

Jam 11.30 pagi.

Bas gantian tiba. Bas itu sepatutnya tidak digunakan kerana akan membawa penumpang ke Shah Alam & Klang pada sebelah malamnya. Semasa menunggu, saya dikhabarkan bas yang sepatutnya tiba jam 9 pagi tadi mengalami kerosakan. Tiba di Stesen Minyak Ayer Hitam, Kedah, kami diarahkan untuk turun bas dan naik bas lain yang telah sedia menanti di sana. Saya masih bersabar.

Lebih kurang jam 3 petang ke atas.

Kami terperangkap di persimpangan keluar Seberang Jaya. Sangkaan saya, ini perkara biasa. Laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang memang sentiasa sesak dengan kenderaan. Bas bergerak dalam kelajuan 20-30 km/sejam. Sungguh menyeksakan apabila saya yang baru sahaja terjaga dari tidur melihat kesesakan di hadapan mata memandangkan saya duduk di tempat duduk di belakang pemandu.

Jam 5 ke atas.

Menakjubkan! Kami masih belum dapat bergerak sempurna. Plaza Tol Juru juga sesak! Saya masih letih dan lapar. Sepatutnya pada jam ini kami sudah berada "somewhere in Perak". Saya menjangkakan pasti kami akan tiba lewat di Kuala Lumpur.

Lebuhraya masih sesak. Kerusi bas yang sempit sungguh tidak menyelesakan (rasanya saya sudah tidak patut menggunakan khidmat bas tersebut lagi, oh!). Nasib baik bas singgah di Hentian Sebelah Bukit Gantang. Dapatlah saya solat jama' qasar dan makan seadanya.

Sedar tidak sedar, kami berjaya meloloskan diri daripada kesesakan. Bagaimanapun kegembiraan itu hanya sementara. Perjalanan menjadi semakin lambat apabila jalan sesak kembali sebelum persimpangan Changkat Jering & Taiping, juga di Ipoh sehingga ke terowong Menora. Seksa! Kesesakan luar biasa yang belum pernah saya lalui seumur hidup.

Langit sudah gelap. Namun kesesakan yang menggila masih belum menunjukkan tanda-tanda akan lancar. Abah dan mak di rumah sudah mula risau apabila jam 11 malam ke atas anak mereka ini masih belum tiba di UIA. Saya sudah runsing. Bagaimana pula saya boleh pulang ke UIA sedangkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan ditutup jam 11.30 malam nanti sedangkan saya masih belum berada dalam negeri Selangor?

Saya dan Farhani (rakan yang turut bersama pulang ke Perlis) berbincang dalam kepekatan malam itu. Kami hanya punya 3 pilihan.

1) Terus pulang ke UIA menaiki teksi dari Puduraya, walaupun kami tahu risiko tambang mahal adalah sangat tinggi.

2) Duduk di McDonald Puduraya sehingga pagi keesokan harinya.

3) Menginap di hotel.

Jalan masih sesak, dan bas masih bergerak dengan kelajuan mungkin 20-30-40 km/sejam. Akhirnya lebih kurang jam 12 malam bas sudah mula masuk ke negeri Selangor. Ya, saat itu saya dan Farhani telah membuat keputusan untuk menginap di hotel sahaja setelah mendapat kebenaran mak dan abah. Alhamdulillah, kesesakan yang bermula sejak di Seberang Jaya tamat selepas persimpangan Rawang. Bas bergerak laju sekali. Nak tercabut juga jantung dibuatnya.

Sampai di Hentian Duta lebih kurang jam 1 pagi. Masih ramai penumpang yang belum menaiki bas. Rupa-rupanya bas yang membawa saya dan penumpang lain itu sepatutnya membawa penumpang dari Hentian Duta ke Kangar & Kuala Perlis pada jam 9.30 malam! Bayangkan berapa jam lamanya mereka perlu menunggu? Masya-Allah.

Jam 1.20 pagi (lebih kurang)

Kami selamat tiba di Puduraya. Letih, mengantuk dan lapar, sambil berjalan dalam kepekatan malam mencari-cari hotel yang sesuai. Alhamdulillah, kami menginap di EV World Hotel yang terletak betul-betul di hadapan Pudu Sentral dengan bayaran RM60 semalam. Tak kisahlah, asalkan kami punya tempat untuk tidur. Sempat lagi ke McDonald's mencari makan malam.

Jam 3 pagi.

Mata sudah menggila minta direhatkan. Selamat malam dunia.

7 pagi (29 Oktober 2012).

Saya hampir terlajak solat Subuh! Nikmat tidur dalam keletihan dan dinginnya penyaman udara hotel! Lepas Subuh terus sambung balik tidur. Niat di hati hendak bangun jam 8, dan bersiap pulang ke UIA disebabkan kelas pada jam 10 pagi. Harapan! Terjaga jam 9 pagi. Bukan main bergegas pulang ke UIA. Mujur beg tak berat sangat. Dalam hati, saya sudah menjangkakan saya takkan sempat ke kelas Hadith nanti. Ah, ponteng lagi!

10 pagi.

Selamat tiba di UIA.

Yeah, kali pertama menempuh perjalanan pulang ke KL selama lebih kurang 13 jam! Lebih baik naik KTMB dari Arau saja.

1 comment:

***Hi, I am no longer active here. PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***