Assalamualaikum.
Saya tak pernah ada pengalaman mengepos barang ke luar negara. Sebelum ini cuma dalam Malaysia saja. Setakat pos laju ikan pekasam dari Perlis ke Sarawak itu dah lebih sekali buat. Bila nak hantar barang ke luar Malaysia, saya dah mula gelabah. Yalah, kos pos mesti mahal, kadangkala lebih mahal dari harga barang itu sendiri. Jadi, terima kasih kepada Pos Malaysia atas inisiatif memperkenalkan Flexipack International. Puas jugalah saya menggunakan khidmat Google untuk tahu lebih lanjut tentang Flexipack ini. Dia macam sampul prabayar pos yang bernilai RM6 itu, cumanya nama dia Flexipack untuk penghantaran ke luar negara. Memandangkan saya nak hantar hadiah untuk seorang kawan di Filipina dengan kos yang berpatutan, Flexipack merupakan perkhidmatan yang mudah dan berpatutan.
Pek Flexipack bersaiz M dengan harga RM19 |
Oh ya kawan-kawan, sebelum nak hantar barang itu rasanya lebih elok rujuk laman web Pos Malaysia untuk tahu zon Flexipack. Contoh macam saya nak pos ke Filipina, negara ini dalam zon 1, jadi minta sampul warna pink. Harga sampul bergantung pada saiz. Untuk saiz M, harganya RM19. Lepas masukkan barang, jangan lupa tulis segala maklumat di bahagian depan sampul. Tulis bagi terang, nanti tak sampai pula barang yang dihantar itu ke destinasi, membazir duit saja. Flexipack International juga memerlukan kita untuk isi custom declaration form untuk custom clearance. Berat dan harga setiap barang perlu ditulis (saya main agak-agak saja). Negara barang dikeluarkan pun diperlukan juga. Tulislah apa yang patut supaya barang anda selamat tiba dan tak ada masalah dengan kastam.
Dah habis isi, bawa sampul itu ke kaunter pejabat pos. Flexipack International ini by default tak ada tracking number ya? Nak 'adakan' tracking number tak ada masalah. Boleh gunakan perkhidmatan Pos Daftar dengan caj tambahan sebanyak RM4.60. Jadi nanti bolehlah track and trace barang yang dipos itu setiap hari. Tak nak guna Pos Daftar pun tak ada masalah. Kalau barang tak sampai, risiko itu tanggunglah sendiri ya.
Harap membantu anda yang tercari-cari cara nak pos barang ke luar negara.
Bersedia untuk 'terbang' ke Filipina! |