Riak? Takabbur? Berbangga dengan amalan yang dilakukan? Menunjuk-nunjuk? Tahukah anda semua ini tergolong dalam kategori syirik khafi?
Syirik - perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.
Syirik khafi - syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.
Zaman sekarang tidak perlu tengok jauh-jauh untuk kenal pasti apabila berlakunya syirik khafi ini. Merata-rata tempat ada. Tetapi saya ingin fokuskan dalam konteks laman sosial. Sesetengah orang suka mengemaskini status Facebook dan Twitter dengan aktiviti yang mereka lakukan setiap waktu. Bayangkanlah, hendak pergi mandi pun update dalam Facebook.
I am wondering what is happening in this world nowadays?
Jadi apa kaitannya dengan syirik khafi?
Kawan-kawan, sedarkah anda sifat riak yang ada dalam status Facebook dan Twitter itu sebenarnya bakal memusnahkan amal ibadat kita? Saya ambil contoh, seseorang yang terbangun awal pagi dan terus update Facebook/Twitternya:
"Terjaga pula. Nak solat tahajud dululah."
Contoh-contoh yang lain:
"Hari ini baca al-Quran sampai lima muka surat."
"Waktu Asar dah masuk. Nak kena pergi masjid ni."
Sebenarnya status ini tiada masalah pun cuma apabila disertakan dengan perasaan riak dan menunjuk-nunjuk amalan yang kita lakukan, apakah nilai yang masih ada pada amalan-amalan ini?
Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat ke-264:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhrat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada kaum yang kafir."Dalam satu lagi firman-Nya yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)
Ini sahaja perkongsian saya untuk entri ini. Semoga kita terhindar daripada melakukan perbuatan syirik khafi tanpa kita sedari.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment
***Hi, I am no longer active here. PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***