Sunday, July 13, 2014

Aku, Ramadan, FIFA World Cup 2014 dan Gaza

Assalamualaikum.

Jika ditanya apakah persamaan yang muncul antara Piala Dunia yang sedang hangat berlangsung dan tragedi berdarah di Gaza, akan saya katakan bahawa kedua-dua berlangsung pada masa yang sama yakni sewaktu umat Islam seantero dunia sedang menjalani ibadah puasa. Piala Dunia FIFA 2014 bakal berakhir awal pagi 14 Julai ini, sedangkan bagaimana pula dengan penderitaan rakyat Palestin? Adakah sama berakhirnya seperti Piala Dunia FIFA 2014 iaitu dengan sebuah kemenangan? Jika Piala Dunia menyaksikan pertarungan antara negara Jerman dan Argentina, isu Palestin pula memperjuangkan hak rakyatnya yang berjuang demi mempertahankan tanah air dari rejim Zionis yang kejam.

Pada saat kita diulit kemewahan dan kesenangan dalam menjalani ibadah puasa dengan juadah yang serba lazat dan kemudahan untuk bersolat tarawih di masjid serba berhawa dingin, jangan pernah dilupakan saudara seislam di Palestin. Hati kecil ini sungguh tersentuh setiap kali melayari laman sosial di mana saya dapat melihat dengan kedua-dua mata saya sendiri penderitaan yang dialami mereka. Kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa kekejaman Zionis yang tidak berkesudahan. Tidak cukup dengan itu, berita tentang dua kanak-kanak tercedera akibat terkena bom sewaktu sedang membaca Al-Quran benar-benar menyentuh hati. Saya tertanya-tanya di sebalik konflik yang berlaku, sampai bilakah kanak-kanak yang tidak berdosa itu akan terus menjadi mangsa bedilan roket dan bom Zionis?

Saya menulis bukan untuk mengkritik mereka yang sanggup berjaga lewat malam demi perlawanan bola sepak. Saya menulis supaya dapat menjadi renungan semua. Pada saat kita bersengkang mata kerana bola, mereka di Gaza bersengkang mata kerana berjaga-jaga. Pada bila-bila masa mereka akan syahid. Apa yang saya kagumi tentang para pejuang di Palestin ini ialah semangat jihad mereka yang cukup kental. Kanak-kanak yang masih mentah tidak mahu ketinggalan bersama-sama dengan pejuang dewasa walaupun cuma sekadar punya kudrat untuk membaling batu ke arah rejim Zionis. Saya membayangkan jika saya sendiri berada di tempat mereka di sana. Masih tegarkah hati saya untuk terus berjuang apabila melihat kaum keluarga mati di hadapan mata sendiri? Tidak, saya masih belum cukup kuat seperti mereka.

Sebagai insan kerdil, tiada apa lagi yang mampu kita lakukan melainkan yang paling utama iaitu dengan doa. Daripada Abu Darda’ r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda,

“Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: “Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama”.

(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Kita sudah maklum akan kelebihan bulan Ramadan di mana segala doa yang dipohon pasti akan dimakbulkan Allah. Apa tidaknya kita gunakan peluang ini untuk sama-sama mendoakan saudara seagama kita di Palestin. Jika warga bumi yang bukan Islam juga mampu menunjukkan solidariti bersama Palestin melalui kempen-kempen di jalanan, mengapa tidak kita juga?

Memetik satu kata-kata yang saya temui di laman sosial Twitter,

“Beruntung saudara seislam kita di Palestin. Berpuasa di dunia, iftar di syurga.”

*Nukilan ini disiarkan di laman web Ma'ruf Club UIAM Gombak pada 13 Julai 2014 - http://www.marufclub.com/2014/07/aku-ramadan-fifa-world-cup-2014-dan-gaza/

Wassalam.

1 comment:

  1. Sy kerap mengikuti berita di Gaza kat halaman FB Aman Palestin. Bila tengok terasa sedih dihati. Lepas tu membayangkan diri disini kita yg masih senang lenang dibuai keseronokan. Mereka pula berhempas pula demi negara dan Islam.

    Jom terjah entri terkini MINDAKABUR : Bluestacks Menjalankan Aplikasi Android Pada Komputer

    ReplyDelete

***Hi, I am no longer active here. PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***