Monday, August 25, 2014

After Four Years - Asputra09 Summer Camp 2014

Assalamualaikum.

Bila dikenang-kenang semula, zaman persekolahan memang sangat indah. Di situ saya mula kenal hidup berdikari, kawan dan lawan. Indah sungguh memori. Sedar tak sedar, dah hampir empat tahun tak kembali jalani hidup sebagai budak asrama. Kenangan di asrama terutamanya hanya boleh difahami oleh mereka yang tinggal di situ.

Alhamdulillah, kami satu batch berjaya adakan program seperti yang tercatat pada tajuk entri kali ini yakni pada 16 dan 17 Ogos yang lalu. Idea yang timbul sekitar bulan April ini akhirnya dapat juga direalisasikan biarpun banyak halangan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Allah mudahkan semuanya sejak dari mula sampailah tamat program.

Sesi bersama adik-adik, berkongsi laluan selepas SPM.
Saya di belakang cuma menyibuk.
Kredit gambar: Paan Syamir
Tuntasnya, program kami mengetengahkan pengisian untuk persediaan adik-adik tingkatan empat untuk menjalani kehidupan selepas SPM. Biasalah, masa kami dulu tak ada langsung senior atas nak berkongsi. Dapat apa saja semuanya reda belaka. Padahal sebenarnya banyak perkara yang kami tak tahu. Contohnya apa kelebihan program asasi berbanding matrikulasi dan sebagainya.

Sesi forum bertajuk Mendepani Cabaran dalam Pendidikan Masa Hadapan.

Program ini juga sebenarnya bersifat serampang dua mata. Sambil jalankan program untuk adik-adik, secara automatiknya kami dapat adakan majlis pertemuan semula. Lagi manis bila cikgu-cikgu turut hadirkan diri. Terkenang semula zaman sekolah dulu. Paling berkobar-kobar bila kawan-kawan yang belajar di oversea pun turut serta. Dapatlah dengar cerita dan pengalaman mereka di sana. Lain tempat, lain cabarannya.

Empat tahun tinggalkan sekolah, rupa-rupanya banyak perubahan yang berlaku di sana. Dulu susah nak tengok budak asrama tunaikan solat berjemaah di surau. Kalau ada pun, cuma waktu Maghrib sajalah. Itu pun tak diwajibkan. Kalau rasa nak pergi, pergilah. Tak ada sesiapa nak marah. Kebetulan pula, surau untuk pelajar putera dan puteri asing. Program keagamaan macam kuliah, talaqqi kitab dan usrah pun jarang sekali dapat sambutan.

Tapi...

Kembalinya ke sini usai empat tahun buat saya berbangga menjadi warga SMSTSP. Majlis ilmu punyalah meriah. Kalau malam hujung minggu di mana pelajar tak diwajibkan ke kelas prep malam, mereka akan berprogram di surau baru yang sangatlah cantik dan besar. Ada bacaan al-Quran dan usrah beramai-ramai, tayangan video Islamik dan banyak lagi. Seronok dan sejuk hati tengok surau diimarahkan setiap masa. Tahniah saya semestinya untuk mereka yang berusaha menjadikan SMSTSP sebagai tempat berputiknya biah solehah terutamanya untuk cikgu-cikgu dan tak lupa ahli BADAR. Hebat-hebat rasanya ahli BADAR semenjak saya tinggalkan sekolah. Andainya masa dapat diputarkan kembali, betapa saya ingin perkara yang sama diadakan sewaktu saya masih bersekolah.

Untuk adik-adik super duper junior di SMSTSP, semoga berjaya selalu demi menggapai cita-cita anda. Letakkan Allah sebagai matlamat utama, insha Allah yang lain akan mengiringi bersama. Dan untuk rakan-rakan batch 32 SMSTSP yang menaungi ASPUTRA09, tahniah atas penganjuran program kali ini. Moga dengan usaha picisan kita dapat memudahkan urusan orang lain.

You guys rock!

This is our ten years of friendship.
Kredit gambar: Paan Syamir
Wassalam.

No comments:

Post a Comment

***Hi, I am no longer active here. PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***