Tuesday, September 16, 2014

Al-Fatihah Untuk Abah (14/4/1964-10/9/2014)

Assalamualaikum.

Pertama sekali, saya ingin memaklumkan kepada para pembaca semua yang abah kesayangan saya iaitu Encik Zulkepli bin Hassan telah kembali ke rahmatullah pada 10 September yang lalu akibat penyakit jangkitan kuman di paru-paru atau bahasa saintifiknya severe sepsis secondary pneumonia. Mohon sama-sama dapat sedekahkan doa dan al-Fatihah untuk arwah. Moga arwah ditempatkan bersama dengan golongan solehin dan ahli syurga. Amin.

Hampir seminggu berlalu barulah saya punya kekuatan untuk mencoret tulisan ini. Buat anda yang masih mempunyai kedua-dua ibu dan ayah, hargailah mereka sepenuhnya sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
9/9/2014. 

Hari itu saya seperti manusia biasa di kampus. Bangun pagi, ke kelas, balik kelas dan rehat. Sebelah malamnya jadi tutor persendirian untuk subjek Bahasa Inggeris UPSR sehinggalah saya menerima panggilan telefon daripada mak sekitar jam sembilan malam yang memaklumkan abah dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas. Pada mulanya saya anggap abah sakit biasa. Keadaan kesihatan abah mmg merudum sejak saya bercuti semester. Bermula dengan abah tak boleh berjalan akibat kaki terkena besi, abah mula demam beberapa hari sebelum saya pulang ke kampus. Saya mula rasa tak senang duduk sebab ini baru kali pertama abah masuk hospital. Nak tanya lebih-lebih dekat mak, saya takut mak sedih. Saya pun cuma fikir mungkin abah sakit biasa. Saya teruskan mengajar, balik bilik dan tidur. Sampailah panggilan mak pada jam satu pagi lebih benar-benar buat jiwa dan raga ini bagai dihempap bongkah batu besar.

"Along sabar banyak-banyak. Mak nak bagitahu yang abah dah tak ada."

Saya terkedu. Igauan saya lepas panggilan pertama mak jadi kenyataan. Saya dengar mak nangis. Fikiran dah berkecamuk. Saya cuma cakap dekat mak yang saya nak balik sekarang tapi saya tak tahu macam mana. Paling awal pun mungkin bas jam 8.30 pagi. Saya telefon Angah, adik lelaki yang kebetulan belajar di UIA juga dan dia maklumkan yang kawan dia sudi tumpangkan kami untuk balik Perlis. 

Sepanjang perjalanan, saya masih susah nak hadam apa yang berlaku. Masih tak percaya bila ingat kata-kata mak dalam panggilan pukul satu pagi tadi. Tak percaya yang abah dah tak ada. Rasa semuanya macam mimpi dan harap bila terjaga nanti dan semua ini tak pernah berlaku. Tapi rupa-rupanya tak. Semua itu memang hakikat yang kena telan walaupun pahit macam hempedu. 

Emosi masih boleh dikawal sampailah bila dah sampai rumah pukul 8.30 pagi, tengok ramai saudara termasuk Maksu (adik ipar arwah), Tok (mak arwah), Makjang (adik perempuan arwah) terus nangis. Lebih tak tahan bila tengok ada sekujur tubuh kaku ditutup dengan kain putih dan waktu itu masih tak percaya yang saya tengok itu abah. Bila nampak mak lagilah meraung. Mak suruh sabar, langsung tak nampak mak menangis waktu itu. Mak nampak sungguh tabah. Saudara mara dekat dan jauh termasuk Paklang (adik lelaki arwah) yang datang dari Rawang tiba pagi itu. Hati makin diruntun pilu. Terus-terang, dah lama tak rasa kehilangan yang besar. Kali terakhir pada tahun 1998 bila kehilangan arwah tokwan (ayah kepada arwah abah), itu pun masih hingusan (baru enam tahun). Kehilangan abah secara mengejut buat saya benar-benar hilang arah.

Jenazah abah selamat dimandikan dan dikafankan. Sebelum wajah abah ditutup buat selama-lamanya, makin laju air mata mengalir. Saya masih tak percaya itu abah. Masa orang kampung dan saudara usung keranda abah pun masih susah nak percaya. Rasa macam mimpi. Nak dekat jam sebelas setengah barulah abah dibawa pergi ke masjid kampung untuk disolatkan dan kemudian dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran. 

Keadaan saya dan keluarga lepas abah tak ada sungguh aneh. Walaupun abah memang dah tinggalkan kami, rumah kami masih rasa macam waktu abah masih ada. Lebih-lebih lagi bila tengok kerusi tempat abah selalu duduk untuk baca surat khabar setiap hari, kerusi tempat duduk abah di meja makan, baju-baju abah dan semua yang berkaitan dengan arwah. Bila berborak dengan mak, mak sendiri tak rasa abah dah meninggal. Saya dan mak rasa macam abah ke mana-mana dan dia akan kembali nanti, walaupun hakikatnya semua itu takkan mungkin terjadi bila nyawa dah berpisah dari badan. Doakan kami sekeluarga tabah hadapi ujian terbesar dalam hidup kami ini.

Untuk kawan-kawan yang tak jemu bagi sokongan dan kata-kata semangat sejak saya terima berita pahit ini sampailah kembali semula ke UIA setelah bercuti selama lima hari, terima kasih yang menggunung tinggi saya ucapkan. Tak terbalas segala kebaikan, doa-doa dan kata-kata semangat yang kalian semua titipkan kepada saya dan keluarga. 

Untuk mak dan adik-adik yang tersayang, moga kita sama-sama sentiasa kuat walaupun abah dah tak bersama kita. Selagi kudrat masih ada, along takkan sia-siakan untuk tolong mak dan adik-adik. Along anak sulung. Along yang perlu kuatkan semangat untuk adik-adik. Insha Allah, habis saja belajar nanti giliran along pula untuk tanggung keluarga. Moga semuanya dipermudahkan Allah.

Selamat tinggal abah. Moga Allah pertemukan abah, mak, along, angah dan adik di syurga nanti. Insha Allah. Along sayang abah! 

Wassalam.

1 comment:

***Hi, I am no longer active here. PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***