Sunday, October 4, 2015

Orang Dulu vs. Orang Sekarang

Assalamualaikum.

Sejak dua tiga menjak, saya banyak membaca dengan kisah-kisah rumah tangga yang dikongsikan oleh rakan-rakan di Facebook. Tak kurang dengan membaca confessions berkisar perkara yang sama di fanpage IIUM Confession. Selain masalah biasa bagi seorang pelajar, saya tertarik dengan beberapa luahan mereka yang memilih untuk menjadi anonymous demi menyampaikan apa yang dah lama terbuku di hati. Jujur, saya pernah juga buat pengakuan di IIUM Confession. Yang mana satu, rahsia! *emotikon ungu bertanduk sedang tersengih*

Saya terpanggil untuk menulis setelah membaca pengakuan di bawah.


Tunjang utama dalam pengakuan di atas ialah masalah suami atau lelaki yang bergantung kepada perempuan, dalam situasi ini, isteri. Bila baca banyak sangat fasal kemelut rumah tangga, siapa kata tak tergugat nak kahwin bukan? Rasa macam tak sanggup bila nak berhadapan dengan spesis manusia seperti ini. Lagi baik tak kahwin terus. Tapi, dah macam menidakkan fitrah pula. Tapi bila mengenangkan kehidupan lepas kahwin yang berjuta onak dan ranjau, baik lari menyorok dalam gua. Suami jadi macam ini satu saja masalahnya. Kurangnya memahami tanggungjawab sebenar seorang ketua keluarga.

Kalau mereka faham, agak-agak ada tak nak minta duit isteri untuk beli keperluan sendiri padahal untuk kegunaan isteri pun tak cukup?

Agak-agak mereka sanggup nak lepaskan tanggungjawab cari nafkah dekat isteri seorang?

Dan macam-macam hal lagi. Menyedihkan, namun inilah realiti kehidupan perkahwinan sekarang. Bukanlah saya nak memomokkan para pembaca semua. Alhamdulillah, walaupun banyak kita dengar masalah rumah tangga berlaku dalam kalangan masyarakat kita, namun masih ada lagi mereka yang tengah mengecap bahagia bersama keluarga masing-masing.

Pendek kata, masing-masing kena faham tugas dan tanggungjawab. Suami kena cari nafkah, sediakan segala keperluan isteri dan anak-anak. Janganlah duit belanja dapur pun tak pernah bagi, lepas itu mengadu isteri tak masak sedap-sedap, tak berhias. Nak masak sedap atau berhias apanya kalau dalam sebulan satu sen pun tak keluarkan untuk isteri dan anak-anak. Kalau isteri itu bekerja tak mengapalah, sekurang-kurangnya mereka ada pendapatan sendiri. Yang tak bekerja? Makan hati sajalah. Itu pun sampai bila nak tahan. Yang si isteri pun sama juga. Bila suami bagi cukup keperluan, jangan terlalu mendesak nak itu ini. Tengok kawan ada beg tangan baru, paksa suami belikan walaupun dia tahu suaminya bergaji kecil. Nak bayar kereta, rumah, bil api, air, Astro dan macam-macam lagi. Tengok kawan bercuti ke luar negara, dia pun nak juga tanpa mengetahui suami itu dah bersusah payah kerja overtimelah, apalah.

Jadi dah merepek merapu panjang fasal tanggungjawab suami isteri ini, apa pula kaitannya dengan tajuk entri saya? Orang dulu versus orang sekarang.

Agak-agak?

Saya nak bercerita sedikit tentang mak dan arwah abah saya, ada kaitan dengan tajuk entri kali ini. Memandangkan dah setahun arwah abah pergi, entri ini saya dedikasikan untuk beliau, untuk menunjukkan kepada para pembaca semua tentang tanggungjawab.

Mak dan arwah abah berkahwin selepas beberapa tahun bekerja sebagai guru. Masa itu, abah cuma lepasan Diploma Perguruan dari sebuah maktab perguruan di selatan tanah air. Mak pula ada ijazah sarjana muda dari USM Pulau Pinang. Dari sini secara kasarnya anda dapat melihat ada sedikit perbezaan taraf pendidikan mak dan arwah abah saya. Dari segi tangga gaji juga berbeza. Umum sedia maklum, waktu itu guru yang ada ijazah selalunya gaji lebih mahal daripada guru yang cuma lulusan diploma. Perbezaan itu tak dijadikan masalah untuk mereka berdua membina rumah tangga.

Selama saya hidup bernafas mengenali arwah, abah saya seorang yang sangat bertanggungjawab. Sangat sangat sangat! Dengan gaji kecilnya itulah dia menyara kehidupan kami sekeluarga walaupun mak sama-sama bekerja. Tak pernah sesekali dia sewenang-wenangnya ambil duit mak untuk kepentingan diri sendiri. Abah cuma orang kampung biasa. Datang pula daripada keluarga yang susah. Jadi dia tahu macam mana nak hargai setiap rezeki yang dia ada. Tak pernah sedikit pun riak dengan apa yang dia miliki. He stayed humble at all time.

Dengan gaji kecil arwah, duit itulah guna untuk beli makan untuk kami adik-beradik, guna bayar kereta, bil api, air, Astro dan banyak lagi. Bayar memang on time! Bukan jenis suka buat tunggakan dua tiga bulan biar tak berbayar sampai kena potong. Dulu pernah langgan pakej broadband, abahlah tukang membayarnya. Sekali pun tak pernah kena blocked sebab abah selalu bayar bil anak bertuahnya ini. Kadangkala, abah akan mesej saya beritahu dia dah masukkan sejumlah duit belanja. Abah bukannya guru berpangkat tinggi, sekadar guru biasa yang tahu tanggungjawabnya.

Tak pernah sekalipun saya tengok dia terpaksa meminjam. Kawan-kawan pinjam itu banyaklah. Tapi arwah jenis bukan yang kedekut. Gaji kecil itulah dapat tolong anak saudaranya masuk ke universiti. Dia tak lupa bersyukur. Gaji kecil itulah dikumpulnya untuk dia, mak dan adik-adik saya ke tanah suci untuk menunaikan umrah pada tahun 2013. Sesen pun duit mak tak keluar walaupun belanja ke tanah suci memerlukan kos yang tinggi, kira-kira RM5000 setiap orang (pada waktu itu). Kata mak, waktu itu mak sudi nak berkongsi kos perbelanjaan yang perlu dibayar kepada ejen syarikat menunaikan umrah. Yalah, mak pun keberatan nak biarkan abah bayar seorang diri.

Tapi, abah kata kepadanya, "simpanlah duit tu. Lepas ni nak guna lagi."

Lepas abah meninggal dunia barulah kami faham apa yang arwah maksudkan. Dengan sikap bertanggungjawab arwah menguruskan kewangan keluarga, mereka berempat (kecuali saya yang bakal menjalani peperiksaan akhir semester waktu itu) dapat ke tanah suci untuk pertama kali (yang pertama dan terakhir untuk arwah). Dengan sikap itulah, dari kecil lagi kami tiga beradik dah ada akaun Tabung Haji dan dah pun mendaftar haji sejak tahun 2010. Abah dan mak punya kesedaran untuk pengurusan kewangan masa depan anak-anak. Alhamdulillah, sampai sekarang masih tak berusik simpanan Tabung Haji saya dan adik-adik. Harapnya kami dapat gunakan peninggalan arwah untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah dan Madinah.

Tak tahu macam mana nak ucapkan syukur kepada Allah. Lepas arwah meninggal banyak betul hikmah untuk kami. Rezeki datang tak disangka-sangka dari pelbagai sudut. Alhamdulillah, berkat kejayaan abah memacu bahtera keluarga kami sejak dari dulu mengikut apa yang ditetapkan Islam. Arwah faham tugas dan tanggungjawab seorang ketua keluarga kepada keluarganya.

Manalah nak cari lelaki macam ini lagi sekarang?

Hopefully we'll reunite in Jannah one day, abah

Baik lelaki mahupun perempuan, sama-sama kita cuba memahami tugas dan tanggungjawab kita bukan saja sebagai bakal suami/isteri orang, tapi tanggungjawab kita sebagai khalifah, hamba Allah, anak, pelajar, pekerja dan macam-macam lagi *tengah nasihatkan diri sendiri*. Contohi zaman mak dan ayah kita yang kerja tak seberapa, gaji kecil, hidup susah, tapi masih mampu besarkan kita adik-beradik sampai berjaya dan dah mampu tersenyum melihat kejayaan anak-anak mereka.

1 comment:

  1. Allah, sebak baca entri awak kali ni. Semoga arwah abah awak ditempatkan dalam kalangan org beriman.

    ReplyDelete

***FOR QUESTIONS THAT NEED QUICK RESPOND, PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***