Tuesday, February 4, 2014

Qadr - Ketentuan Itu Pasti

Assalamualaikum.

Beriman dengan qada' dan qadr merupakan rukun iman yang keenam yang dipercayai oleh semua orang mukmin. Begitu juga dengan apa yang ingin dipaparkan dalam filem bertajuk Qadr arahan pengarah terkenal iaitu Faisal Ishak (pengarah filem Juvana).

Berkesempatan untuk menonton Qadr pada cuti semester yang lalu, ingin saya katakan bahawa filem ini telah menyentuh jiwa saya dengan jalan ceritanya yang sarat dengan mesej. Bagi saya, Qadr tidak bersandarkan atas nama filem Islamik untuk mendekati penonton, sebaliknya penonton sendiri yang menilai setiap nilai yang disampaikan dalam filem tersebut.

Pada mulanya saya enggan menonton filem ini memandangkan ianya berkisar tentang kemalangan ngeri sebuah bas yang meragut nyawa ramai penumpangnya. Yalah, dah berulang-alik dari KL ke Perlis setiap cuti semester dengan menggunakan perkhidmatan bas ekspres sudah tentu meninggalkan impak yang besar sekiranya saya teruskan hasrat untuk menonton filem Qadr. Namun disebabkan perasaan ingin tahu selepas menyaksikan trailer filem ini membuatkan saya gagahkan diri untuk menonton.


Bukan kemalangan bas yang menjadi fokus utama, sebaliknya peristiwa pasca kemalangan tersebut yang akan menyentuh hati-hati penonton dengan jalan cerita dan lakonan yang mantap daripada para pelakon yang hebat seperti Beto Khusyairi, Zahiril Adzim, Syera Aiyob, Kismah Johar, Zain Hamid, Puteri Chichi, Tunku Hanis dan ramai lagi.

Watak-watak yang hadir dalam Qadr semuanya berkait rapat antara satu sama lain. Bermula dengan kisah Beto Khusyairi (tak ingat nama wataknya) yang sudi membantu mangsa kemalangan, Fareed (Zahiril Adzim) si pemain bola sepak yang kudung kakinya, Rahmat (Zain Hamid) dan Puteri Chichi (Dhia) pasangan kekasih gelap, Mak Jah (Kismah Johar) yang takut menaiki bas, Amira (Syera Aiyob) amah warga Indonesia yang melarikan diri daripada majikan yang mahu merogolnya dan Geena (Tunku Hanis) seorang anak yang lari dari tanggungjawab untuk menjaga ayahnya (Riezman Khuzaimi) yang sakit. Mereka merupakan mangsa kemalangan yang terselamat dan filem ini memfokuskan kesudahan kepada setiap watak tersebut, bagaimana mereka menerima ujian tersebut sama ada dengan hati terbuka ataupun memberontak.

Saya bukanlah seorang pengkritik filem, namun saya sarankan agar tontonilah Qadr di Astro First saluran 480 sementara masih ditayangkan. Anda tidak akan menyesal dengan sentuhan pengarah berbakat seperti Faisal Ishak ini. Mesej yang nak disampaikan begitu mendalam, dan sedikit sebanyak membuatkan kita terfikir tentang kehidupan, terutamanya saat kita dilanda badai ujian daripada Yang Maha Esa.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

***FOR QUESTIONS THAT NEED QUICK RESPOND, PLEASE REACH ME THROUGH EMAIL (izzfiez@gmail.com) ONLY. THANK YOU***