Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Wednesday, December 10, 2014

Colors of Dakwah 2014

Assalamualaikum.

Catatan saya sewaktu menghadiri forum Colors of Dakwah sempena majlis penutup Dakwah Carnival anjuran Ma'ruf Club UIAM Gombak. Moga bermanfaat kepada semua.

Panelis: Dai’ Izzhar Nazri, IM Fakhrul & Aiman Azlan
Moderator: Nizamuddin Mohd Arif (Exco Spiritual & Islamization SRC 14/15)

- Tuhan tak ciptakan manusia itu bodoh – setiap manusia ada kelebihan masing-masing
- Dakwah – kapal yang besar (setiap orang dalam kapal ada tugas masing-masing – memasak, mengemudi kapal, kawal keselamatan), sekecil-kecil peranan tetap penting (contoh: tukang masak kalau tak ada, tak makanlah satu kapal)
- Ada orang banyak ilmu, tak tahu macam mana nak sampaikan ilmu, dan ada orang yang tahu bagaimana nak sampaikan cuma kurang ilmu – guna kelebihan yang ada untuk sebarkan dakwah (contoh: pegawai bank ada caranya, tukang masak ada cara lain)

Keberkesanan dakwah di media sosial
1) Satu dunia dapat akses terhadap mesej yang kita sampaikan – tak ada keterbatasan
2) Boleh jadi berkesan, boleh jadi tak berkesan, bergantung pada situasi dan keadaan saja – trigger minat orang ramai dari tak minat jadi minat pada Islam, tetapi media sosial tak boleh ganti proses tarbiyah dan pendidikan (contoh: Skype tak boleh ganti face to face human interaction)

Dakwah secara bersendirian atau berkumpulan – perlu kedua-duanya – sehebat-hebat Nabi s.a.w pun berdakwah secara berkumpulan
- Dakwah bil hal – dakwah dengan tunjukkan akhlak yang baik
- Kemanisan dakwah secara berkumpulan – kongsi susah dan senang bersama

Beza dakwah dan tarbiyah
- Dakwah – ajak orang buat kebaikan
- Tarbiyah – proses pendidikan
- Rasulullah s.a.w. pada awal kenabian ajak orang pada Islam dan mentarbiyah para sahabat (contoh: peristiwa hijrah, sahabat sanggup tinggalkan apa yang ada demi menyahut seruan Allah)

Fenomena anak muda suka fikir perkara remeh sampai lupa tugas dakwah dan media massa yang lebih pada hiburan
- Tahu konsep prioriti – konsep first thing first

Kenapa tak boleh tarik orang bila nak sampaikan tentang Islam? – kalau orang lari dari Islam, jangan salahkan mereka, salahkan kita sendiri

Nak ajak orang berbuat kebaikan – tahu keutamaan dalam nak menegur – puji terlebih dulu

Kesilapan dakwah – tegur sikap negatif orang sebelum tegur sikap positif mereka

Cara berdepan dan menarik dengan orang
1) Bina kepercayaan dengan orang – tak boleh terus approach, sekurang-kurangnya tahu nama dan latar belakang
2) Jangan hina orang
- People don’t even care how much you know until they know how much you care – listen first, talk later

Pendekatan terhadap golongan untapped market (LGBT)
- Ilmu tinggi tapi tak ada connection dengan orang yang nak didekati menyebabkan dakwah tak sampai
- Guna pendekatan rahmah dan hikmah, bukan marah
- Jangan jadi fake/berpura-pura
- Setiap orang adalah magnet, hanya mampu tarik sesetengah jenis manusia saja
- Dakwah perlu dipelbagaikan style

Tuesday, February 4, 2014

Qadr - Ketentuan Itu Pasti

Assalamualaikum.

Beriman dengan qada' dan qadr merupakan rukun iman yang keenam yang dipercayai oleh semua orang mukmin. Begitu juga dengan apa yang ingin dipaparkan dalam filem bertajuk Qadr arahan pengarah terkenal iaitu Faisal Ishak (pengarah filem Juvana).

Berkesempatan untuk menonton Qadr pada cuti semester yang lalu, ingin saya katakan bahawa filem ini telah menyentuh jiwa saya dengan jalan ceritanya yang sarat dengan mesej. Bagi saya, Qadr tidak bersandarkan atas nama filem Islamik untuk mendekati penonton, sebaliknya penonton sendiri yang menilai setiap nilai yang disampaikan dalam filem tersebut.

Pada mulanya saya enggan menonton filem ini memandangkan ianya berkisar tentang kemalangan ngeri sebuah bas yang meragut nyawa ramai penumpangnya. Yalah, dah berulang-alik dari KL ke Perlis setiap cuti semester dengan menggunakan perkhidmatan bas ekspres sudah tentu meninggalkan impak yang besar sekiranya saya teruskan hasrat untuk menonton filem Qadr. Namun disebabkan perasaan ingin tahu selepas menyaksikan trailer filem ini membuatkan saya gagahkan diri untuk menonton.


Bukan kemalangan bas yang menjadi fokus utama, sebaliknya peristiwa pasca kemalangan tersebut yang akan menyentuh hati-hati penonton dengan jalan cerita dan lakonan yang mantap daripada para pelakon yang hebat seperti Beto Khusyairi, Zahiril Adzim, Syera Aiyob, Kismah Johar, Zain Hamid, Puteri Chichi, Tunku Hanis dan ramai lagi.

Watak-watak yang hadir dalam Qadr semuanya berkait rapat antara satu sama lain. Bermula dengan kisah Beto Khusyairi (tak ingat nama wataknya) yang sudi membantu mangsa kemalangan, Fareed (Zahiril Adzim) si pemain bola sepak yang kudung kakinya, Rahmat (Zain Hamid) dan Puteri Chichi (Dhia) pasangan kekasih gelap, Mak Jah (Kismah Johar) yang takut menaiki bas, Amira (Syera Aiyob) amah warga Indonesia yang melarikan diri daripada majikan yang mahu merogolnya dan Geena (Tunku Hanis) seorang anak yang lari dari tanggungjawab untuk menjaga ayahnya (Riezman Khuzaimi) yang sakit. Mereka merupakan mangsa kemalangan yang terselamat dan filem ini memfokuskan kesudahan kepada setiap watak tersebut, bagaimana mereka menerima ujian tersebut sama ada dengan hati terbuka ataupun memberontak.

Saya bukanlah seorang pengkritik filem, namun saya sarankan agar tontonilah Qadr di Astro First saluran 480 sementara masih ditayangkan. Anda tidak akan menyesal dengan sentuhan pengarah berbakat seperti Faisal Ishak ini. Mesej yang nak disampaikan begitu mendalam, dan sedikit sebanyak membuatkan kita terfikir tentang kehidupan, terutamanya saat kita dilanda badai ujian daripada Yang Maha Esa.

Wassalam.

Saturday, June 22, 2013

Bahaya riak

Assalamualaikum.

Riak? Takabbur? Berbangga dengan amalan yang dilakukan? Menunjuk-nunjuk? Tahukah anda semua ini tergolong dalam kategori syirik khafi?

Syirik - perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah. 

Syirik khafi - syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Zaman sekarang tidak perlu tengok jauh-jauh untuk kenal pasti apabila berlakunya syirik khafi ini. Merata-rata tempat ada. Tetapi saya ingin fokuskan dalam konteks laman sosial. Sesetengah orang suka mengemaskini status Facebook dan Twitter dengan aktiviti yang mereka lakukan setiap waktu. Bayangkanlah, hendak pergi mandi pun update dalam Facebook. 

I am wondering what is happening in this world nowadays?

Jadi apa kaitannya dengan syirik khafi?

Kawan-kawan, sedarkah anda sifat riak yang ada dalam status Facebook dan Twitter itu sebenarnya bakal memusnahkan amal ibadat kita? Saya ambil contoh, seseorang yang terbangun awal pagi dan terus update Facebook/Twitternya:

"Terjaga pula. Nak solat tahajud dululah."

Contoh-contoh yang lain:

"Hari ini baca al-Quran sampai lima muka surat."

"Waktu Asar dah masuk. Nak kena pergi masjid ni."

Sebenarnya status ini tiada masalah pun cuma apabila disertakan dengan perasaan riak dan menunjuk-nunjuk amalan yang kita lakukan, apakah nilai yang masih ada pada amalan-amalan ini?

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat ke-264:


"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhrat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada kaum yang kafir."
Dalam satu lagi firman-Nya yang bermaksud: 


“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Ini sahaja perkongsian saya untuk entri ini. Semoga kita terhindar daripada melakukan perbuatan syirik khafi tanpa kita sedari.

Wassalam.

Wednesday, April 18, 2012

Forum - Jagalah Allah, Allah Akan Menjagamu

Assalamualaikum.

InsyaAllah kali ni saya nak kongsikan pengalaman & intipati sepanjang menghadiri forum anjuran Mahallah Safiyyah, UIAM Gombak yang bertajuk seperti tajuk entri kali ni. Alhamdulillah, syukur sebab bukan senang nak dapat kesempatan untuk join sebarang majlis ilmu di sini. Busy dengan assignment apa semua, tapi rohani pun kena juga diberi pengisian kan?

Forum on Contemporary Issue - Jagalah Allah, Allah Akan Menjagamu
Tempat: Court, Mahallah Safiyyah
Tarikh: 13 April 2012
Moderator: Ardi Herman Mohd Mardzi (TV Alhijrah)
Ahli Panel: Catriona Ross & Aimie Sofea (Juara Solehah TV Alhijrah)

1. Konsep ‘IHFAZILLAH, YAHFAZKA’ – jagalah Allah, Allah menjagamu.
2. Sepatutnya kita kenal dan sentiasa ingat Allah terutamanya ketika waktu senang dan lapang agar Allah   akan mengingat kita tatkala waktu kita dalam kesusahan.
3. Sentiasa meminta pertolongan Allah-mengharapkan pertolongan Allah.
4. Sesetengah manusia yang mati hatinya, mereka tidak memberi peluang untuk untuk hati supaya lebih sayangkan Allah
5. Mereka yang mencari redha Allah dalam manusia maka Allah akan cukupkan segala-galanya di dunia dan akhirat.
6. Apabila kita mendekatkan diri dengan Allah, kita akan dapat berasakan betapa dekatnya Allah dengan kita.
7. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang selagi  mereka tidak mengasihiku lebih daripada ibu mereka.”
8. Punca berlakunya gejala sosial dalam masyarakat disebabkan oleh mereka tidak mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.
9. Doa yang digalakkan untuk diamalkan: “Ya Allah peliharalah aku dengan Islam ketika aku berdiri. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku duduk. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku terbaring. Jangan gembirakan orang yang memusuhiku dan yang menyimpan dengki kepadaku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang ada di Tangan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu dari seluruh simpanan kejahatan yang ada di Tangan-Mu.”
10. Rasulullah s.a.w. tidak mengakui ummatnya yang berbuat mungkar, yang tidak mengikut perintah Allah.
11. Setiap Muslim perlu sentiasa beringat, tidaklah seorang Muslim itu ditimpa musibah kecuali untuk dihapus dosanya.
12.  Jagalah Allah di waktu senang, nescaya Allah akan menolong kita di waktu susah
13.  Apa sahaja yang kita lakukan, harus lillahi taala kerana ia akan menjadi ibadah.
14.  Semakin dekat dengan Allah, semakin kuat ujian yang diberikanNya.

Ini salah satu forum terbaik yang pernah saya hadiri. Catriona Ross banyak cerita pengalaman hijrah beliau sampai membuatkan hati tersentuh dengar kisah beliau. Ardi Herman pulak tak gagal dalam mengendalikan forum. Aimie Sofea pun bukan main semangat bercerita tentang kisah beliau. Semoga Kak Cat terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan sebagai khalifatullah. Insya Allah, semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang takkan pernah melupakan Dia walaupun sesaat.

Nak jugak letak gambar kenangan bersama Ardi Herman. Tak sempat bergambar dengan Catriona Ross & Aimie Sofea. 

Saya, Ardi, Mirza & Fanie :)
Wassalam.