Showing posts with label belajar. Show all posts
Showing posts with label belajar. Show all posts

Monday, December 25, 2017

Tips Sebelum Sambung Master

Assalamualaikum *tiup habuk kiri kanan*

Setelah hampir setahun tak update langsung blog, akhirnya kembali juga ke pangkal jalan. Ewah! Alhamdulillah dah selamat menamatkan semester ketiga sebagai pelajar master di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan tersangatlah sibuk dengan urusan duniawi sampai terabai blogku ini hahaha.

Alright. Marilah kita ke topik utama untuk posting kali ini iaitu berkenaan tentang tips nak sambung belajar. Well, aku rasalah dah berlambak-lambak sangat blog di luar sana yang berkongsi untuk kau orang semua tentang tips untuk sambung belajar, especially untuk peringkat postgraduate studies ni. Masing-masing pun berkongsi berdasarkan pengalaman sendiri. Lain orang lain situasi. Apa yang aku nak kongsikan dalam posting kali ni pun diambil 100% dari situasi hidup aku sendiri.

Untuk yang baru-baru jadi pembaca blog ni (ceh, ada ke pembaca masalahnya?), aku dah masuk semester ketiga di UUM. Jurusan English Language Teaching atau dalam bahasa mudahnya bila orang tanya aku jawab TESL saja. Insya Allah kalau tak ada aral Februari 2019 barulah makcik yang seorang ni akan bergraduasi. Lamanya! Huhuhuhu.

Okey, kita masuk topik balik. Di bawah ni aku kongsikan apa yang aku rasa sepanjang aku bergelar pelajar balik untuk perkongsian dengan kau orang semua. 


First and foremost, decide betul-betul kau orang nak sambung belajar sebab apa

Niat.

Aku rasa ni benda paaaaaaling penting sebelum kau orang melangkah sebagai seorang pelajar postgraduate. Masa aku semester satu, aku masuk kelas subjek pra-syarat di mana semua pelajar baru waktu tu bukan asal dari bidang pendidikan. Bila ditanya tentang kenapa dia orang nak sambung master kan, ada yang jawab sebab nak kerja gaji tinggi. Yalah, bila dah ada master ni orang mesti pandang kau orang sebagai seorang yang berstatus pendidikan tinggi. Lepas tu mesti expect untuk gaji pun tak adanya setakat RM2500 macam budak fresh graduate degree kan?

Ada juga yang sambung belajar sebab ikut kawan.

Ada yang sebab menganggur lama sangat dan untuk tak membuang masa dia orang belajar lagilah (this was my case).

Lepas tu bila fikir balik, takkan sebab ni saja? Jadinya yang berpeluh keringat banting tulang buat assignment sepanjang 4-5 semester tu untuk apa?

Bukan senang. Once kaki dah masuk ke alam pengajian ni, kau orang akan korbankan masa yang sangatlah banyak, lepas tu duit (sebab nak bayar yuran, travel expenses ke kampus kalau stay off-campus, research purpose dan macam-macam lagi). Untuk yang dah memang berkerjaya tu mungkin okeylah. Untuk yang memang full-time student itu lagi kena fikir. Sebab itulah banyak saja kes terpaksa berhenti sekerat jalan. Tak mampu nak bagi 100% komitmen.


Kursus pengajian

Ini pun penting. Kalau tak apa gunanya kau orang nak sambung belajar kalau basic things macam ni pun kelaut hahaha. In terms of the course, ada yang masih nak teruskan apa yang dah dipelajari masa zaman undergraduate dulu. Ada yang memang berubah 180 darjah. Zaman degree belajar kulinari, bila master tiba-tiba ambil education. Benda ni sendiri dipersoalkan oleh lecturer kelas Research Methodology aku dulu. Macam kes aku sendiri okey lagi agaknya sebab zaman degree pun aku dah ada pendedahan dengan bidang pendidikan walaupun sekadar tahap paaaaaaling asas yang rasanya bagi budak-budak education ni buat celah gigi saja. Tapi, walau macam mana sekalipun agak susah juga nak adapt bila kau orang ambil kursus lain-lain ni. Seriously I tell you guys masa aku semester kedua bila dah mula ambil subjek teras macam Curriculum & Pedagogy dan Measurement & Evaluation in Education & Psychology tu macam nak menangis jugalah. Bayangkan bila budak kelas kau semua rata-ratanya memang hardcore in education dan kau seorang diri ibarat berada di tengah lautan tak tahu apa itu KSSR, beza HSP dan DSKP bagai. Lagi teruk bila kau tak dapat penuhi expectation lecturer yang perfectionist sebab dia anggap kau dah tahu semua benda tentang pendidikan. Tapi aku tak rasa semua ni cabaran kalau kau orang semua memang jenis cintakan ilmu dan nak kembangkan pemikiran ke bidang lain. Tak salah. Cuma orang macam kita ni kena usaha lebih. Masa aku kelas Curriculum Design & Development, lecturer buka topik tentang CEFR. I was like, “what the hell?”. I totally have no idea sampai kena buka Wikipedia then I was like “ooo, Common European Framework of Reference for Languages.” Berhuhu jugalah dalam kelas.


Universiti

Pilihan universiti pun penting bagi aku. Mungkin sesetengah orang lebih suka untuk sambung di universiti zaman degree sebab dah biasa dengan persekitaran dan semestinya lecturer. Jadi senang nak bertahan. Untuk kes aku, aku pilih untuk dekat dengan kampung halaman. UUM is totally a new environment for me okay. Sebab dulu dekat UIA aku macam berada dalam comfort zone jugalah dengan suasana dia. Rasa secure sebab majoriti pelajar Muslim. Jadi bila di tempat baru, aku pun tak tahu nak expect UUM macam mana. Tapi alhamdulillah, walaupun lebih kurang saja sebenarnya cultural and ethnic diversity di kedua-dua universiti, aku rasa aku dah boleh adapt dengan suasana di tempat baru ni. Ceh, padahal masuk kampus seminggu sekali saja hahaha. Jadi untuk yang rasa nak berubah angin belajar di tempat baru tu kena pandailah sesuaikan diri. Kadang-kadang kerenah lecturer universiti lama tak sama dengan yang di tempat baru. Lepas tu untuk yang duduk dalam kampus lagilah. Macam UUM ni kampus dia ya Rabbi besar nak arwah. Kalau dulu zaman UIA aku boleh tawaf satu kampus, di UUM ni jangan haraplah.

Itu soal nak sesuaikan diri. Lagi satu yang kau orang kena ambil perhatian berkaitan dengan yuran pengajian. Ada universiti yang yurannya agak mahal. Ada yang murah. Bergantung pada kemampuan masing-masing. Untuk yang dah ada pendapatan it should be no problem. Untuk yang menganggur macam aku ni memang kena consider habis-habisan. Alhamdulillah yuran master UUM taklah mahal, malah tak cecah RM10K pun untuk sepanjang pengajian. Ada juga universiti yang yurannya lebih RM10K. Aku pun tak pasti atas dasar apa ada yang mahal dan murah ni. Apa pun, pilihan di tangan anda.


Mod pengajian

Seperkara lagi, mod pengajian. Sama ada coursework, mixed mode ataupun research. Ada orang cakap coursework senang sebab tak payah buat research teruk-teruk. Sila terjun longkang sekarang sebab walaupun aku coursework mode tapi workload dia ya Rabbi! Yalah sebab mod ni kena buat assignment, presentation, quiz dan sesetengah subjek tu ada peperiksaan akhir semester. Lepas tu kau orang akan timbul rasa macam “eh kenapa aku tak ambil mixed mode or research dulu?” masa tengah stress menghadap assignment menggunung hahaha. Padahal mod lain pun sama saja cabarannya. Aku tak boleh nak cerita banyak tentang mixed mode and full research ni sebab aku budak coursework. Tapi aku memang tak ada keberanian langsung nak menghadap viva voce seumpamanya jadi aku pilih jalan selamat iaitu coursework PADAHAL SUSAH JUGA TAHU TAK?! Ya padan muka sendiri hahaha.

UUM ni aku perasanlah minimum duration of study dia tak adanya kau orang boleh habiskan master kurang dari empat semester. Paling cepat pun memang dua tahun baru selesai. Berbanding dengan universiti lain rasanya setahun setengah pun dah boleh habis. Itu kalau full-time student. Kalau part-time memang lagi lambat. Sebab subjek dia ya Rabbi banyak bukan main sampai aku fikir “perlu ke belajar subjek ni?” hahaha.

Untuk budak coursework memang kena pandai susun jadual sendiri untuk pastikan kau orang ambil subjek yang dikehendaki takut ada yang tertinggal susah pula. Dahlah kebiasaannya pihak fakulti akan buka satu kelas saja untuk subjek master sebab selalunya pelajar tak ramai. 

Okey, so far itu saja yang aku dapat kongsikan untuk point yang sangatlah penting untuk kau orang ambil perhatian sebelum putuskan sama ada nak sambung belajar ke tak untuk manfaat kita bersama. Anyway, to all postgraduate students out there, all the best in your future okay! Semoga kita sukses dan dapat konvo dengan jubah double line. Hahaha!

Tuesday, July 8, 2014

Unfulfilled

Assalamualaikum dan selamat menunaikan ibadah puasa.

Ada di antara kita dulu sewaktu masih kecil memasang angan-angan. Ya, terlalu banyak angan-angan. Salah satu angan-angan yang dirasakan terlalu biasa ialah cita-cita. Kalau dulu, cita-cita sebagai doktor paling popular. Diikuti dengan guru, peguam dan sebagainya. Masuk sahaja ke sekolah menengah, semuanya dah beralih arah. Mana tidaknya, jurusan yang diambil pun menyimpang jauh dengan cita-cita asal.

Saya merupakan salah seorang daripada pencita-cita tak kesampaian. 

Bermula dengan nak menjadi seorang doktor, cikgu, peguam dan kemudian akauntan. Namun cita-cita dan impian berubah sejak saya mengikuti kelas sains teknikal di tingkatan empat. Nampak jauh beza kan? Dalam kelas sains teknikal, subjek elektif yang wajib diambil ialah Lukisan Kejuruteraan, Fizik dan Kimia. Dari situ saya mula kembangkan minat ke arah perkara berbentuk teknikal dan cita-cita saya yang terbaru pada waktu tersebut ialah sama ada seorang arkitek ataupun jurutera. 

Kenapa arkitek dan seni bina?

Well, sebab Malaysia tak mempunyai ramai arkitek perempuan yang berjaya dan pada waktu itu saya berasakan bahawa tidak semua orang berbakat dalam bidang lukisan teknik. Saya terlalu obses melakukan yang terbaik dalam kerja kursus saya kerana pada waktu itu kami ditugaskan untuk menyiapkan plan elektrik dan pendawaian, plan sambungan paip dan juga Auto-CAD (padahal tak pernah siapkan pun).

Dan yang terutamanya, mestilah sebab gaji seorang arkitek sangat tinggi mencecah puluhan ribu ringgit. 

Kenapa jurutera pula?

Atau yang lebih spesifik, jurutera kimia. 

Alkisahnya dulu sebab terlalu minat dengan subjek Kimia. Tak tahulah kenapa, tetapi saya rasakan Kimia paling mudah untuk skor berbanding Matematik Tambahan. Am I right? Sehingga sekarang saya terlalu rindukan untuk masuk semula ke kelas Kimia di bawah kelolaan Cikgu Md Noor dan Cikgu Zalena dan belajar balik segala jenis bab seperti carbon compound, oxidation and reduction, cation and anion, electricity, hafal periodic table dan macam-macam lagi. Tak lupa juga kenangan main susu getah (latex) di dalam makmal Kimia.

Pernah terlintas dalam fikiran saya untuk memohon pengajian di Universiti Teknologi Petronas, namun setelah diberitahu akan kelebihan dan kekurangannya, saya serta-merta mengubah fikiran. Lagi satu sebab saya berasakan bahawa sangatlah menarik jika lebih ramai perempuan terjun ke bidang yang sinonim dengan kaum Adam ini. 

Maka disebabkan minat yang masih berterusan, saya cuba memohon menerusi UPU kedua-dua bidang yang saya minati ini (seni bina dan kejuruteraan) walaupun tak berapa dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa saya memandangkan kerjaya sebegini memerlukan komitmen yang tinggi, lebih-lebih lagi jika anda itu seorang perempuan. Walau bagaimanapun, nasib tetap tak menyebelahi saya. Lain yang dipohon, lain yang dapat. Seni bina ke mana, kejuruteraan ke mana. Mana taknya, dengan keputusan SPM yang taklah teruk mana tapi taklah secemerlang mana ini memustahilkan saya untuk meneruskan impian.

Kecewa tak?

Nak kata tak kecewa langsung itu, tipulah. Tapi saya sedar pilihan Allah itulah yang terbaik untuk saya sampailah sekarang. Mungkin jika ditakdirkan saya terus mengikuti kursus dalam bidang yang saya minati dan seterusnya gagal di pertengahan jalan?

Jadi, pesanan saya untuk anda semua yang mungkin sama nasibnya seperti saya iaitu cita-cita tak kesampaian, jangan pernah jadikan semua itu batu penghadang untuk anda berjaya. Yakinilah bahawa aturan Allah itu dah termaktub cantik dan sesuai dengan keadaan diri kita. Bila saya fikirkan kembali, memang ada hikmahnya saya tak ambil jurusan architecture ataupun engineering di universiti kerana saya mudah gelabah bila berhadapan dengan subjek yang susah. Manalah tahu masuk kelas belajar Kalkulus pun boleh pengsan. 

Wassalam.

Wednesday, April 23, 2014

Terima Kasih

Catatan ini ditulis untuk luah kecewa dengan diri sendiri *lap air mata, teruskan perjuangan*

Abah.

1. Terima kasih sebab dari kecil jagakan Along dan adik-adik.
2. Terima kasih sebab tiap-tiap bulan masukkan duit dalam akaun bank Along.
3. Terima kasih sebab bayarkan bil broadband Along tiap-tiap bulan.
4. Terima kasih sebab hantar dan ambil Along dari stesen bas setiap kali Along balik kampung masa cuti semester.
5. Terima kasih sebab belikan semua makanan yang Along nak kalau Along tengah mengidam masa balik kampung.
6. Terima kasih sebab pernah ajar Along masa darjah lima dan enam.
7. Terima kasih sebab masa Along nak balik dari Nilai dulu abah susah payah bawakan luggage Along yang berat gila hanya naik bas sahaja.
8. Terima kasih sebab sediakan tempat berteduh untuk kami sekeluarga.
9. Terima kasih sebab selalu pandu kereta ke tempat yang Along nak pergi.

Etc etc etc.

Mak.

1. Terima kasih sebab dah bersabung nyawa beranakkan Along sampai kena tambah air 22 tahun dulu.
2. Terima kasih sebab jaga makan, minum, pakaian Along.
3. Terima kasih sebab hantar dan ambil Along dari stesen bas setiap kali Along balik kampung masa cuti semester.
4. Terima kasih sebab selalu masakkan makanan yang Along nak setiap kali Along balik rumah masa cuti semester.
5. Terima kasih sebab belikan itu ini yang Along nak *walaupun mak kadang-kadang kena korbankan kepentingan diri sendiri*
6. Terima kasih untuk masa yang mak korbankan demi kami adik-beradik.
7. Terima kasih sebab bangga dengan Along yang masuk universiti walaupun Along tak pandai mana pun sebenarnya.
8. Terima kasih atas setiap titik peluh yang keluar sebab nak bahagiakan Along.

Etc etc etc.

Untuk kedua-duanya,

Terima kasih atas senyuman sebab kami (Along, Angah & Adik) berjaya buat abah dan mak gelak ketawa *walaupun kadang-kadang hanya kerana lawak bodoh*
Terima kasih untuk banyak lagi perkara yang tak mampu Along tulis sebab baaanyaaak sangat.

Maafkan kami atas setiap air mata yang mengalir kerana kekecewaan kalian berdua terhadap kami.

Terima kasih infiniti.
Kalau nak tulis tak cukup satu entri. 

Untuk abah dan mak.


Wassalam.

Friday, December 20, 2013

The End of Lecture Week, Semester 1

Assalamualaikum.

Bertemu kita sekali lagi untuk entri pertama bulan Disember. Alhamdulillah, selesai sudah lecture week bagi semester 1, sesi 2013/2014. Kali ini saya sekadar ingin berkongsi kenangan-kenangan sepanjang semester ini berlalu. Ada yang manis, pahit, masam, masin dan tawar (well, ayat cliche katakan)

Menyoroti kembali awal permulaan semester setelah bergelar pelajar tahun ketiga, rupa-rupanya memang betul cakap-cakap senior yang mengatakan sesungguhnya apabila menjangkau jadi pelajar tahun ketiga, kesibukan semakin berganda. Ya, teori tersebut sangat tepat! Dapat assignment pelik-pelik (I will say that video editing assignment is pelik, hahahaha!), dapat belajar benda untuk diaplikasikan pada dunia sebenar dan macam-macam lagi. Kalau tulis sampai buka semester baru pun tak habis.

I'll start with my usrahs. Di UIA, saya ada dua usrah, which are usrah yang saya sertai dan usrah yang saya pegang sebagai naqibah. Sesibuk manapun, jangan tinggalkan program tarbiyyah (pesan Along Nik Nur 'Amirah). Dekat sinilah saya mencari kekuatan dan sampai sekarang masih bersama dengan ahli usrah sejak di tahun kedua. Kalau usrah bersama adik-adik junior BENL, kami selalu bergelak ketawa sama-sama di samping berkongsi ilmu. Well, usrah ini bukannya sekadar berbincang bab-bab agama semata-mata, tapi dalam usrah kita dapat mengenal seseorang itu dengan lebih dekat.

Next, tak dilupakan juga kesanggupan saya 'berlari' sebentar ke Melaka dek kerana kesibukan dan ketegangan di universiti. Thanks Ilyani sebab sudi terima kunjungan saya walaupun sehari. 

And the most unforgettable moment bila terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Kampus UIA Gombak sebagai seconder kepada seorang sahabat yang bertanding di KIRKHS Constituency. Dapat tengok sendiri bagaimana proses penamaan calon berjalan, dan alhamdulillah proses berkempen berjalan lancar walaupun biasalah kontroversi dan konflik yang sangat sinonim dengan UIA. Dapat panjat KICT di atas bukit demi flashmob salah seorang calon yang bertanding, tolong calon dari kulliyyah lain dan sebagainya. Ramai yang bising-bising dah kenapa Filzati sibuk-sibuk sangat dengan PRK UIA? Saat paling manis mestilah calon yang kita sibuk kempenkan menang, bukan? Alhamdulillah, tahniah dan takziah YB Alif (beliau senegeri dengan saya). Banyak bantu ajarkan pelajar UIA video editing guna software Sony Vegas gara-gara assignment Morphology (saya terutamanya).

Antara event penting yang saya sertai ialah Asputra 09 Live in Shah Alam. Dapat berjumpa rakan-rakan satu batch di sekolah menengah dulu, melawat UITM Shah Alam, makan-makan di Restoran Barra, shopping di Cala Qisya. Tipulah kalau cakap tak rindu zaman muda-mudi di sekolah dulu. Zaman tak matang, zaman cinta monyet. Monyet pun pandai bercinta.

Bak kata Dr. Seuss, "don't cry because it's over, but smile because it happened.."

Wassalam.

Saturday, November 23, 2013

"Now I am a student, then..?"

Assalamualaikum.

Belakangan ini seakan tiada masa hendak menguruskan diri sendiri. Bilik terkadang dibiarkan bersepah-sepah, baju tidak berlipat, dan ada sesetengahnya dibiarkan tidak berbasuh. Hanya dengan beralasan,

"Alah, tak ada masa nak buat semua benda. Assignment banyak, kena pergi meeting program lagi.."

Natijahnya, blog kesayangan dibiarkan usang tidak berpenghuni. Mungkin kalau ada sesiapa hendak buat penggambaran filem hantu boleh cuba negotiate dengan saya?

Alhamdulillah 'ala kulli hal, dalam kesibukan hidup sebagai mahasiswe (bak kata Ustaz Nazmi dalam program Mega Usrah Muzikal semalam), sedar tidak sedar kami, mahasiswa di UIAM ini bakal menghadapi peperiksaan akhir semester tidak lama lagi. Semester satu masih berbaki sebulan sebelum bermulanya minggu ulangkaji. Kehilangan saya selama ini pun sebenarnya hanya kerana sibuk berassignment, usrah, menjadi committee program, berpilihan raya kampus dan banyak lagi. Dalam hendak menuju ke penghujung semester pun masih ada banyak lagi tugasan tertangguh. Moga Allah permudahkan semuanya.

Tiga semester yang masih berbaki di hadapan membuat saya kerapkali berfikir ke mana arah tuju saya selepas bergraduasi dari UIAM Gombak dalam bidang bahasa Inggeris dan kesusasteraan ini? 

1. Kahwin?
2. Sambung ijazah sarjana
3. Kerja
4. Buka bisnes multimedia + perusahaan makanan

And there are still a lot of options that I have to choose.

Dalam perkongsian daripada Ustaz Syaari Abdul Rahman dan Ustaz Husni Abdul Rahman dalam sebuah program anjuran IRK Students Society Khamis yang lalu, semangat meneruskan pembelajaran sangat ditekankan. Walau apapun yang kita akan jadi pada suatu hari nanti, kita perlu tanamkan semangat untuk terus belajar dan belajar. Tidak kisahlah jika selepas ini hendak terus belajar tanam jagung, buka kolam ikan atau sebagainya, belajar tetap belajar. Tidak semestinya proses pembelajaran hanya berlaku di kelas, bukan? 

Selain itu, menjadi mahasiswa juga tidak bererti dunia anda hanya tertumpu pada pelajaran sehingga mengabaikan dunia sekeliling. Soal politik, kewangan negara dan isu-isu yang berlaku di sekitar kampus perlu dititikberatkan juga agar kita tidak tergolong dalam golongan yang dipanggil sebagai "ignorance". Jadi mahasiswa yang cakna dengan keadaan sekeliling sebab Ustaz Husni ada menyebutkan bahawa,

"Siapa yang tidak mahu mengambil tahu urusan Muslim maka dia bukan sebahagian daripada Muslim."

Cukup setakat ini sahaja perkongsian pendek saya kali ini. Semoga kita semua dapat menjadi orang yang peka dan sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Wassalam.

Sunday, June 9, 2013

Officially ended

Assalamualaikum.

Pejam celik, Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi. Bagaimana dengan persiapan masing-masing? Puasa ganti sudah selesai?

Alhamdulillah, semester kedua bagi sesi 2012/2013 telah berakhir setelah saya selesai menjawab kertas English Literature: 20th Century and Contemporary. Saya bakal bercuti sehingga awal September. Moga dapat mengisi masa dengan sesuatu yang berguna. Cepat sungguh masa berlalu. Sudah cukup dua tahun meraih butir-butir pengalaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tahun ketiga nanti pasti akan menyaksikan pelbagai cabaran daripada segenap sudut. Subjek-subjek pula semakin tough sebagai persediaan menjadi graduan Bahasa Inggeris yang ada kelas tersendiri.

Walau apapun, kenangan sepanjang semester dua ini tidak mungkin saya lupakan. Memori bersama para pensyarah yang cukup dedikasi dan sporting cukup membahagiakan. Saya akan merindui lawak sinis Dr. Mahmud selaku pensyarah bagi subjek peperiksaan pagi tadi, Dr. Subramaniam dengan cerita-cerita semioticsnya, Ustaz Muntaha Artalim dengan taujihat berguna tentang ilmu fiqh dan syariah serta Dr. Maizatun selaku pembimbing bagi subjek Family Management yang tidak lokek berkongsi ilmu tentang alam perkahwinan dan ilmu keibubapaan.

Tidak terkecuali ayat-ayat daripada Ustaz Muntaha yang masih segar dalam ingatan. Katanya,

"Filzah, nanti sudah graduasi cepat-cepat menikah. Bukan apa, kalau ditangguh nanti makin lambat pula kahwin.."

*ayat-ayat di atas telah diubah suai mengikut kesesuaian*

Somehow, sejak ustaz panggil saya dengan nama Filzah, saya jadi suka apabila orang lain memanggil seperti yang demikian. Terima kasih juga atas doa assabiqunal awwalun itu. Moga Allah merahmati ustaz dan seluruh keluarga.

Tidak dilupakan buat pensyarah-pensyarah lain yang banyak membantu terutamanya Dr. Ainon, Ustaz Azahari dan Dr. Ismail yang baik hati. Kata orang, pengalaman itulah guru yang paling berguna. Dan, apabila menjadi pendidik, jangan sekadar menjadi mu'allim, tetapi juga murabbi. In shaa Allah, moga bermanfaat buat diri ini yang juga bercita-cita menjadi pensyarah suatu hari nanti jika diizinkan.

Wassalam.

Wednesday, April 18, 2012

Forum - Jagalah Allah, Allah Akan Menjagamu

Assalamualaikum.

InsyaAllah kali ni saya nak kongsikan pengalaman & intipati sepanjang menghadiri forum anjuran Mahallah Safiyyah, UIAM Gombak yang bertajuk seperti tajuk entri kali ni. Alhamdulillah, syukur sebab bukan senang nak dapat kesempatan untuk join sebarang majlis ilmu di sini. Busy dengan assignment apa semua, tapi rohani pun kena juga diberi pengisian kan?

Forum on Contemporary Issue - Jagalah Allah, Allah Akan Menjagamu
Tempat: Court, Mahallah Safiyyah
Tarikh: 13 April 2012
Moderator: Ardi Herman Mohd Mardzi (TV Alhijrah)
Ahli Panel: Catriona Ross & Aimie Sofea (Juara Solehah TV Alhijrah)

1. Konsep ‘IHFAZILLAH, YAHFAZKA’ – jagalah Allah, Allah menjagamu.
2. Sepatutnya kita kenal dan sentiasa ingat Allah terutamanya ketika waktu senang dan lapang agar Allah   akan mengingat kita tatkala waktu kita dalam kesusahan.
3. Sentiasa meminta pertolongan Allah-mengharapkan pertolongan Allah.
4. Sesetengah manusia yang mati hatinya, mereka tidak memberi peluang untuk untuk hati supaya lebih sayangkan Allah
5. Mereka yang mencari redha Allah dalam manusia maka Allah akan cukupkan segala-galanya di dunia dan akhirat.
6. Apabila kita mendekatkan diri dengan Allah, kita akan dapat berasakan betapa dekatnya Allah dengan kita.
7. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang selagi  mereka tidak mengasihiku lebih daripada ibu mereka.”
8. Punca berlakunya gejala sosial dalam masyarakat disebabkan oleh mereka tidak mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh.
9. Doa yang digalakkan untuk diamalkan: “Ya Allah peliharalah aku dengan Islam ketika aku berdiri. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku duduk. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku terbaring. Jangan gembirakan orang yang memusuhiku dan yang menyimpan dengki kepadaku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang ada di Tangan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu dari seluruh simpanan kejahatan yang ada di Tangan-Mu.”
10. Rasulullah s.a.w. tidak mengakui ummatnya yang berbuat mungkar, yang tidak mengikut perintah Allah.
11. Setiap Muslim perlu sentiasa beringat, tidaklah seorang Muslim itu ditimpa musibah kecuali untuk dihapus dosanya.
12.  Jagalah Allah di waktu senang, nescaya Allah akan menolong kita di waktu susah
13.  Apa sahaja yang kita lakukan, harus lillahi taala kerana ia akan menjadi ibadah.
14.  Semakin dekat dengan Allah, semakin kuat ujian yang diberikanNya.

Ini salah satu forum terbaik yang pernah saya hadiri. Catriona Ross banyak cerita pengalaman hijrah beliau sampai membuatkan hati tersentuh dengar kisah beliau. Ardi Herman pulak tak gagal dalam mengendalikan forum. Aimie Sofea pun bukan main semangat bercerita tentang kisah beliau. Semoga Kak Cat terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan sebagai khalifatullah. Insya Allah, semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang takkan pernah melupakan Dia walaupun sesaat.

Nak jugak letak gambar kenangan bersama Ardi Herman. Tak sempat bergambar dengan Catriona Ross & Aimie Sofea. 

Saya, Ardi, Mirza & Fanie :)
Wassalam.