Showing posts with label kejayaan. Show all posts
Showing posts with label kejayaan. Show all posts

Tuesday, July 8, 2014

Unfulfilled

Assalamualaikum dan selamat menunaikan ibadah puasa.

Ada di antara kita dulu sewaktu masih kecil memasang angan-angan. Ya, terlalu banyak angan-angan. Salah satu angan-angan yang dirasakan terlalu biasa ialah cita-cita. Kalau dulu, cita-cita sebagai doktor paling popular. Diikuti dengan guru, peguam dan sebagainya. Masuk sahaja ke sekolah menengah, semuanya dah beralih arah. Mana tidaknya, jurusan yang diambil pun menyimpang jauh dengan cita-cita asal.

Saya merupakan salah seorang daripada pencita-cita tak kesampaian. 

Bermula dengan nak menjadi seorang doktor, cikgu, peguam dan kemudian akauntan. Namun cita-cita dan impian berubah sejak saya mengikuti kelas sains teknikal di tingkatan empat. Nampak jauh beza kan? Dalam kelas sains teknikal, subjek elektif yang wajib diambil ialah Lukisan Kejuruteraan, Fizik dan Kimia. Dari situ saya mula kembangkan minat ke arah perkara berbentuk teknikal dan cita-cita saya yang terbaru pada waktu tersebut ialah sama ada seorang arkitek ataupun jurutera. 

Kenapa arkitek dan seni bina?

Well, sebab Malaysia tak mempunyai ramai arkitek perempuan yang berjaya dan pada waktu itu saya berasakan bahawa tidak semua orang berbakat dalam bidang lukisan teknik. Saya terlalu obses melakukan yang terbaik dalam kerja kursus saya kerana pada waktu itu kami ditugaskan untuk menyiapkan plan elektrik dan pendawaian, plan sambungan paip dan juga Auto-CAD (padahal tak pernah siapkan pun).

Dan yang terutamanya, mestilah sebab gaji seorang arkitek sangat tinggi mencecah puluhan ribu ringgit. 

Kenapa jurutera pula?

Atau yang lebih spesifik, jurutera kimia. 

Alkisahnya dulu sebab terlalu minat dengan subjek Kimia. Tak tahulah kenapa, tetapi saya rasakan Kimia paling mudah untuk skor berbanding Matematik Tambahan. Am I right? Sehingga sekarang saya terlalu rindukan untuk masuk semula ke kelas Kimia di bawah kelolaan Cikgu Md Noor dan Cikgu Zalena dan belajar balik segala jenis bab seperti carbon compound, oxidation and reduction, cation and anion, electricity, hafal periodic table dan macam-macam lagi. Tak lupa juga kenangan main susu getah (latex) di dalam makmal Kimia.

Pernah terlintas dalam fikiran saya untuk memohon pengajian di Universiti Teknologi Petronas, namun setelah diberitahu akan kelebihan dan kekurangannya, saya serta-merta mengubah fikiran. Lagi satu sebab saya berasakan bahawa sangatlah menarik jika lebih ramai perempuan terjun ke bidang yang sinonim dengan kaum Adam ini. 

Maka disebabkan minat yang masih berterusan, saya cuba memohon menerusi UPU kedua-dua bidang yang saya minati ini (seni bina dan kejuruteraan) walaupun tak berapa dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa saya memandangkan kerjaya sebegini memerlukan komitmen yang tinggi, lebih-lebih lagi jika anda itu seorang perempuan. Walau bagaimanapun, nasib tetap tak menyebelahi saya. Lain yang dipohon, lain yang dapat. Seni bina ke mana, kejuruteraan ke mana. Mana taknya, dengan keputusan SPM yang taklah teruk mana tapi taklah secemerlang mana ini memustahilkan saya untuk meneruskan impian.

Kecewa tak?

Nak kata tak kecewa langsung itu, tipulah. Tapi saya sedar pilihan Allah itulah yang terbaik untuk saya sampailah sekarang. Mungkin jika ditakdirkan saya terus mengikuti kursus dalam bidang yang saya minati dan seterusnya gagal di pertengahan jalan?

Jadi, pesanan saya untuk anda semua yang mungkin sama nasibnya seperti saya iaitu cita-cita tak kesampaian, jangan pernah jadikan semua itu batu penghadang untuk anda berjaya. Yakinilah bahawa aturan Allah itu dah termaktub cantik dan sesuai dengan keadaan diri kita. Bila saya fikirkan kembali, memang ada hikmahnya saya tak ambil jurusan architecture ataupun engineering di universiti kerana saya mudah gelabah bila berhadapan dengan subjek yang susah. Manalah tahu masuk kelas belajar Kalkulus pun boleh pengsan. 

Wassalam.

Saturday, March 15, 2014

Aku Ingin Cepat Dewasa

Assalamualaikum.

Dah umur 22 tahun rupa-rupanya diri ini. Nak kata dah cukup dewasa, tak juga. Terasa macam budak-budak lagi sebenarnya. Masih banyak benda kena belajar dari sekeliling. Walaupun secara tak rasmi usia dah menjangkau 22 tahun, masih rasa diri tak dewasa-dewasa lagi. Lebih perit bila mengenangkan usia abah dan mak makin meningkat. Tahun ini abah dah 50 tahun, mak will be turning to 49 this August. 

Cepat sungguh masa berlalu!

Hakikatnya abah dan mak masing-masing dah tua. Kudrat tak segagah dulu. Masa cuti semester lepas, abah asyik batuk tak henti-henti lepas balik umrah. Risau juga. Masa itu baru sedar yang usia abah dah meningkat, sedangkan diri ini masih terasa tak cukup dewasa lagi.

Cepatlah masa berlalu!

Nak cepat-cepat habis belajar then dapatkan kerja yang bagus-bagus. Kumpul duit, masa untuk balas jasa abah dan mak. Bila lagi nak bagi mereka rasa usaha dan kesungguhan anak mereka ini kalau bukan nanti? Kalau boleh, nak bagi abah dan mak merasa duduk rumah kepunyaan diri sendiri, naik kereta Viva Elite sendiri, dibawa melancong ke luar negara dengan duit hasil titik peluh diri sendiri.

Hakikatnya, kenapa terasa masa bergerak sungguh lambat?

Andai boleh dihentikan masa, nak hentikan peningkatan usia abah dan mak. Nak cepatkan masa diri ini untuk menjadi dewasa. Biar abah dan mak sempat tengok anak-anak mereka berjaya. Bila masing-masing dah besar, nak tengok wajah bahagia abah dan mak. Dah bayangkan rumah kami penuh dengan gelak tawa bila masing-masing berkumpul. Tak ketinggalan penuh porch rumah dengan kereta sendiri, kereta Angah dan kereta Adik. Mak pernah kata,

"Nanti rumah ni mesti penuh dengan kereta anak-anak mak sampai tak tahu nak parking dekat mana."

Lebih kuranglah ayatnya.

Ada lebih kurang lima hari lagi untuk balik bercuti.

Cepatlah masa berlalu, dan sila hentikan masa sebaik sahaja diri ini berada di rumah.

Wassalam.

Sunday, June 9, 2013

Officially ended

Assalamualaikum.

Pejam celik, Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi. Bagaimana dengan persiapan masing-masing? Puasa ganti sudah selesai?

Alhamdulillah, semester kedua bagi sesi 2012/2013 telah berakhir setelah saya selesai menjawab kertas English Literature: 20th Century and Contemporary. Saya bakal bercuti sehingga awal September. Moga dapat mengisi masa dengan sesuatu yang berguna. Cepat sungguh masa berlalu. Sudah cukup dua tahun meraih butir-butir pengalaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tahun ketiga nanti pasti akan menyaksikan pelbagai cabaran daripada segenap sudut. Subjek-subjek pula semakin tough sebagai persediaan menjadi graduan Bahasa Inggeris yang ada kelas tersendiri.

Walau apapun, kenangan sepanjang semester dua ini tidak mungkin saya lupakan. Memori bersama para pensyarah yang cukup dedikasi dan sporting cukup membahagiakan. Saya akan merindui lawak sinis Dr. Mahmud selaku pensyarah bagi subjek peperiksaan pagi tadi, Dr. Subramaniam dengan cerita-cerita semioticsnya, Ustaz Muntaha Artalim dengan taujihat berguna tentang ilmu fiqh dan syariah serta Dr. Maizatun selaku pembimbing bagi subjek Family Management yang tidak lokek berkongsi ilmu tentang alam perkahwinan dan ilmu keibubapaan.

Tidak terkecuali ayat-ayat daripada Ustaz Muntaha yang masih segar dalam ingatan. Katanya,

"Filzah, nanti sudah graduasi cepat-cepat menikah. Bukan apa, kalau ditangguh nanti makin lambat pula kahwin.."

*ayat-ayat di atas telah diubah suai mengikut kesesuaian*

Somehow, sejak ustaz panggil saya dengan nama Filzah, saya jadi suka apabila orang lain memanggil seperti yang demikian. Terima kasih juga atas doa assabiqunal awwalun itu. Moga Allah merahmati ustaz dan seluruh keluarga.

Tidak dilupakan buat pensyarah-pensyarah lain yang banyak membantu terutamanya Dr. Ainon, Ustaz Azahari dan Dr. Ismail yang baik hati. Kata orang, pengalaman itulah guru yang paling berguna. Dan, apabila menjadi pendidik, jangan sekadar menjadi mu'allim, tetapi juga murabbi. In shaa Allah, moga bermanfaat buat diri ini yang juga bercita-cita menjadi pensyarah suatu hari nanti jika diizinkan.

Wassalam.