Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Friday, October 10, 2014

Padanya Ada Hikmah

Assalamualaikum.

Hari ini. 10 Oktober 2014.

Bererti dah sebulan abah tinggalkan kami sekeluarga. Perit dan hiba tak usah saya gambarkan bagaimana, lebih-lebih lagi ini kali pertama berhari raya haji tanpa abah. Rasa aneh. Kalau dulu masa abah masih ada, rumah mesti riuh sebab abah memang suka menyakat dan bergurau dengan adik-beradiknya yang datang ke rumah setiap kali raya. Bila abah dah tak ada, sunyi sungguh rasanya.

Pemergian mengejut abah sememangnya bukan suatu perkara yang mudah untuk saya dan keluarga terima. Namun, yang pergi tetap akan pergi. Pasti ada hikmah yang Allah mahu tunjukkan yang kadang kala kita tak pernah mengetahui apa sebab dan tujuan diberikan kepada kita ujian sebegini.

M.A.T.I

Satu perkataan, empat aksara. Hakikat yang manusia sendiri tak boleh lari jauh darinya. Makin kita angkat kaki, mati tetap akan datang menghampiri. Boleh jadi hari ini sihat walafiat, esok lusa siapa tahu? Bukan perlu tunggu esok, sekejap lagi selepas siarkan entri ini pun boleh mati. Kerja Tuhan, mana kita boleh pertikai.

Kata mak, "sakit itu cuma sebab. Lambat atau cepat, kalau dah sampai masa tetap akan mati juga."

Dengan kata itu saya cuba untuk kuatkan semangat hingga ke saat ini. 

Betul kata mak, "kalau masanya tak sampai lagi, accidentlah seteruk mana pun, sakit terlantarlah macam mana pun tetap takkan mati. Ajal tak sampai lagi. Tapi kalau masa dah sampai, hari ini sihat pun boleh pergi macam itu saja. Macam abah."

Nak dikira hibanya hati, saya kerap pujuk diri sendiri. Sesedih diri ini, dekat luar sana lebih ramai yang ditimpa lebih berat ujiannya. Malah Rasulullah s.a.w sendiri pun tak sempat berasa kasih sayang ayahanda tercinta. Bukankah mereka yang diuji itu mereka yang disayangi Tuhan? 

Itu bab mereka yang dah pergi. Kita yang masih bernyawa atas ihsan Tuhan, bersyukurkah kita? Berapa kerat amalan yang nak dibawa bertemu Pencipta nanti?

Wassalam.

Saturday, March 15, 2014

Aku Ingin Cepat Dewasa

Assalamualaikum.

Dah umur 22 tahun rupa-rupanya diri ini. Nak kata dah cukup dewasa, tak juga. Terasa macam budak-budak lagi sebenarnya. Masih banyak benda kena belajar dari sekeliling. Walaupun secara tak rasmi usia dah menjangkau 22 tahun, masih rasa diri tak dewasa-dewasa lagi. Lebih perit bila mengenangkan usia abah dan mak makin meningkat. Tahun ini abah dah 50 tahun, mak will be turning to 49 this August. 

Cepat sungguh masa berlalu!

Hakikatnya abah dan mak masing-masing dah tua. Kudrat tak segagah dulu. Masa cuti semester lepas, abah asyik batuk tak henti-henti lepas balik umrah. Risau juga. Masa itu baru sedar yang usia abah dah meningkat, sedangkan diri ini masih terasa tak cukup dewasa lagi.

Cepatlah masa berlalu!

Nak cepat-cepat habis belajar then dapatkan kerja yang bagus-bagus. Kumpul duit, masa untuk balas jasa abah dan mak. Bila lagi nak bagi mereka rasa usaha dan kesungguhan anak mereka ini kalau bukan nanti? Kalau boleh, nak bagi abah dan mak merasa duduk rumah kepunyaan diri sendiri, naik kereta Viva Elite sendiri, dibawa melancong ke luar negara dengan duit hasil titik peluh diri sendiri.

Hakikatnya, kenapa terasa masa bergerak sungguh lambat?

Andai boleh dihentikan masa, nak hentikan peningkatan usia abah dan mak. Nak cepatkan masa diri ini untuk menjadi dewasa. Biar abah dan mak sempat tengok anak-anak mereka berjaya. Bila masing-masing dah besar, nak tengok wajah bahagia abah dan mak. Dah bayangkan rumah kami penuh dengan gelak tawa bila masing-masing berkumpul. Tak ketinggalan penuh porch rumah dengan kereta sendiri, kereta Angah dan kereta Adik. Mak pernah kata,

"Nanti rumah ni mesti penuh dengan kereta anak-anak mak sampai tak tahu nak parking dekat mana."

Lebih kuranglah ayatnya.

Ada lebih kurang lima hari lagi untuk balik bercuti.

Cepatlah masa berlalu, dan sila hentikan masa sebaik sahaja diri ini berada di rumah.

Wassalam.

Wednesday, October 10, 2012

Intellectual Discourse-Kemelut Sosial Remaja: Gangsterisme & Seks Bebas- "Di Manakah Solusinya?"

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.

Allah s.w.t telah memberikan waktu dan kekuatan kepada saya untuk sama-sama hadir ke program Wacana Intelek siri yang ketiga. Untuk pengetahuan anda, program Wacana Intelek bersempena Convest 2012 UIAM ini mempunyai tiga siri. Yang pertama telah pun saya kongsikan dalam entri yang lepas. Siri kedua menampilkan Hilal Asyraf & Yatt Hamzah selaku tetamu undangan tetapi malangnya saya tidak berkesempatan untuk hadir berikutan ada program lain pada masa yang sama. Alhamdulillah Wacana Intelek semalam menyaksikan gandingan mantap dan hebat daripada Dr. Zaharuddin Abd Rahman, seorang pendakwah dan juga merupakan pensyarah di UIA, Ustaz Hasrizal Jamil (seorang penulis juga pendakwah bebas) serta tidak ketinggalan Imam Muda Omar selaku panelis. Tajuk yang dibincangkan ialah berkaitan dengan kemelut sosial remaja dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya.

Insya Allah saya akan kongsikan beberapa isi penting yang sempat saya catatkan semalam.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman:

- Institusi keluarga memainkan peranan yang penting
- Remaja perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan ibu bapa, dan ibu bapa juga perlu kuat dan menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak untuk diikuti
- Contoh boleh dilihat menerusi Surah Luqman: Luqman mengajar anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah, menghargai ibu bapa, mendirikan solat, mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran, bersabar dengan setiap ujian yang diterima, jangan menyombong diri, jangan meninggikan suara dengan orang lain (ciri-ciri gangsterisme)
- Remaja (kebanyakannya lelaki) salah tanggapan tentang erti "macho": buli orang lain, hisap rokok dianggap perkara yang akan menampakkan kemachoan seseorang padahal jauh sama sekali
- Gangsterisme juga disebabkan oleh sifat diri yang suka melihat orang lain ditimpa kesusahan, suka untuk ada kuasa terhadap orang lain, enjoy rasa ditakuti
- Mereka yang terlibat ialah yang suka menjarakkan diri dengan ibu bapa dan menjadikan kawan-kawan itu lebih utama
- Allah s.w.t amat suka dengan orang yang tidak suka melakukan perkara yang tidak elok
- Media sebagai racun dan penawar yang dapat mengawal tindakan manusia
- Jangan ambil perkara yang disampaikan melalui media itu sebagai trend (contoh: tengok filem cinta terus rasa nak bercinta)

Ustaz Hasrizal:

- Barangsiapa yang mengatakan manusia sudah rosak, maka dialah sebenarnya yang paling rosak (seumpama dia sudah berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t)
- Tamadun Greco-Roman (salah satu tamadun berjaya di dunia) runtuh disebabkan masalah keruntuhan moral
- Masalah sosial yang berlaku adalah disebabkan manusia yang mempunyai sifat pentingkan diri sendiri
- Punca utama gangsterisme dan masalah seks bebas ialah jauh dari rahmat Allah s.w.t
- Individu itu sendiri yang gagal mengawal dirinya (mempunyai karakter yang lemah)
- Masalah ini turut berpunca daripada sistem pendidikan awal yang dilihat gagal untuk membentuk jati diri remaja sejak kecil
- Faktor internet: tiada sekatan seumpamanya, remaja lebih menjadi bebas


Imam Muda Omar pula mengajak audiens supaya memandang topik masalah sosial ini dari kaca mata seorang umat Nabi Muhammad s.a.w.

- Kita sebagai manusia ialah umat yang dipertanggungjawabkan untuk menyambung kerja-kerja kenabian (berdakwah seumpamanya)
- Nabi s.a.w menyuntik cahaya keimanan dalam diri sahabat-sahabatnya

Banyak lagi perkara menarik yang dikongsikan oleh ketiga-tiga panelis. Alhamdulillah, jumlah audiens yang ramai menunjukkan program Intellectual Discourse sempena Convest 2012 ini mendapat sambutan yang cukup hangat. Semoga tradisi majlis ilmu di bumi UIAM akan tetap diteruskan, biarpun Convest 2012 akan melabuhkan tirainya esok.

Wassalam.