Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Friday, October 10, 2014

Padanya Ada Hikmah

Assalamualaikum.

Hari ini. 10 Oktober 2014.

Bererti dah sebulan abah tinggalkan kami sekeluarga. Perit dan hiba tak usah saya gambarkan bagaimana, lebih-lebih lagi ini kali pertama berhari raya haji tanpa abah. Rasa aneh. Kalau dulu masa abah masih ada, rumah mesti riuh sebab abah memang suka menyakat dan bergurau dengan adik-beradiknya yang datang ke rumah setiap kali raya. Bila abah dah tak ada, sunyi sungguh rasanya.

Pemergian mengejut abah sememangnya bukan suatu perkara yang mudah untuk saya dan keluarga terima. Namun, yang pergi tetap akan pergi. Pasti ada hikmah yang Allah mahu tunjukkan yang kadang kala kita tak pernah mengetahui apa sebab dan tujuan diberikan kepada kita ujian sebegini.

M.A.T.I

Satu perkataan, empat aksara. Hakikat yang manusia sendiri tak boleh lari jauh darinya. Makin kita angkat kaki, mati tetap akan datang menghampiri. Boleh jadi hari ini sihat walafiat, esok lusa siapa tahu? Bukan perlu tunggu esok, sekejap lagi selepas siarkan entri ini pun boleh mati. Kerja Tuhan, mana kita boleh pertikai.

Kata mak, "sakit itu cuma sebab. Lambat atau cepat, kalau dah sampai masa tetap akan mati juga."

Dengan kata itu saya cuba untuk kuatkan semangat hingga ke saat ini. 

Betul kata mak, "kalau masanya tak sampai lagi, accidentlah seteruk mana pun, sakit terlantarlah macam mana pun tetap takkan mati. Ajal tak sampai lagi. Tapi kalau masa dah sampai, hari ini sihat pun boleh pergi macam itu saja. Macam abah."

Nak dikira hibanya hati, saya kerap pujuk diri sendiri. Sesedih diri ini, dekat luar sana lebih ramai yang ditimpa lebih berat ujiannya. Malah Rasulullah s.a.w sendiri pun tak sempat berasa kasih sayang ayahanda tercinta. Bukankah mereka yang diuji itu mereka yang disayangi Tuhan? 

Itu bab mereka yang dah pergi. Kita yang masih bernyawa atas ihsan Tuhan, bersyukurkah kita? Berapa kerat amalan yang nak dibawa bertemu Pencipta nanti?

Wassalam.

Tuesday, July 8, 2014

Unfulfilled

Assalamualaikum dan selamat menunaikan ibadah puasa.

Ada di antara kita dulu sewaktu masih kecil memasang angan-angan. Ya, terlalu banyak angan-angan. Salah satu angan-angan yang dirasakan terlalu biasa ialah cita-cita. Kalau dulu, cita-cita sebagai doktor paling popular. Diikuti dengan guru, peguam dan sebagainya. Masuk sahaja ke sekolah menengah, semuanya dah beralih arah. Mana tidaknya, jurusan yang diambil pun menyimpang jauh dengan cita-cita asal.

Saya merupakan salah seorang daripada pencita-cita tak kesampaian. 

Bermula dengan nak menjadi seorang doktor, cikgu, peguam dan kemudian akauntan. Namun cita-cita dan impian berubah sejak saya mengikuti kelas sains teknikal di tingkatan empat. Nampak jauh beza kan? Dalam kelas sains teknikal, subjek elektif yang wajib diambil ialah Lukisan Kejuruteraan, Fizik dan Kimia. Dari situ saya mula kembangkan minat ke arah perkara berbentuk teknikal dan cita-cita saya yang terbaru pada waktu tersebut ialah sama ada seorang arkitek ataupun jurutera. 

Kenapa arkitek dan seni bina?

Well, sebab Malaysia tak mempunyai ramai arkitek perempuan yang berjaya dan pada waktu itu saya berasakan bahawa tidak semua orang berbakat dalam bidang lukisan teknik. Saya terlalu obses melakukan yang terbaik dalam kerja kursus saya kerana pada waktu itu kami ditugaskan untuk menyiapkan plan elektrik dan pendawaian, plan sambungan paip dan juga Auto-CAD (padahal tak pernah siapkan pun).

Dan yang terutamanya, mestilah sebab gaji seorang arkitek sangat tinggi mencecah puluhan ribu ringgit. 

Kenapa jurutera pula?

Atau yang lebih spesifik, jurutera kimia. 

Alkisahnya dulu sebab terlalu minat dengan subjek Kimia. Tak tahulah kenapa, tetapi saya rasakan Kimia paling mudah untuk skor berbanding Matematik Tambahan. Am I right? Sehingga sekarang saya terlalu rindukan untuk masuk semula ke kelas Kimia di bawah kelolaan Cikgu Md Noor dan Cikgu Zalena dan belajar balik segala jenis bab seperti carbon compound, oxidation and reduction, cation and anion, electricity, hafal periodic table dan macam-macam lagi. Tak lupa juga kenangan main susu getah (latex) di dalam makmal Kimia.

Pernah terlintas dalam fikiran saya untuk memohon pengajian di Universiti Teknologi Petronas, namun setelah diberitahu akan kelebihan dan kekurangannya, saya serta-merta mengubah fikiran. Lagi satu sebab saya berasakan bahawa sangatlah menarik jika lebih ramai perempuan terjun ke bidang yang sinonim dengan kaum Adam ini. 

Maka disebabkan minat yang masih berterusan, saya cuba memohon menerusi UPU kedua-dua bidang yang saya minati ini (seni bina dan kejuruteraan) walaupun tak berapa dipersetujui oleh kedua-dua ibu bapa saya memandangkan kerjaya sebegini memerlukan komitmen yang tinggi, lebih-lebih lagi jika anda itu seorang perempuan. Walau bagaimanapun, nasib tetap tak menyebelahi saya. Lain yang dipohon, lain yang dapat. Seni bina ke mana, kejuruteraan ke mana. Mana taknya, dengan keputusan SPM yang taklah teruk mana tapi taklah secemerlang mana ini memustahilkan saya untuk meneruskan impian.

Kecewa tak?

Nak kata tak kecewa langsung itu, tipulah. Tapi saya sedar pilihan Allah itulah yang terbaik untuk saya sampailah sekarang. Mungkin jika ditakdirkan saya terus mengikuti kursus dalam bidang yang saya minati dan seterusnya gagal di pertengahan jalan?

Jadi, pesanan saya untuk anda semua yang mungkin sama nasibnya seperti saya iaitu cita-cita tak kesampaian, jangan pernah jadikan semua itu batu penghadang untuk anda berjaya. Yakinilah bahawa aturan Allah itu dah termaktub cantik dan sesuai dengan keadaan diri kita. Bila saya fikirkan kembali, memang ada hikmahnya saya tak ambil jurusan architecture ataupun engineering di universiti kerana saya mudah gelabah bila berhadapan dengan subjek yang susah. Manalah tahu masuk kelas belajar Kalkulus pun boleh pengsan. 

Wassalam.

Monday, January 6, 2014

Jaulah Kuantan 2013

Assalamualaikum.

Penghujung 2013. Ada banyak dugaan menimpa bertalu-talu. Allah sahaja yang tahu macam mana peritnya nak berhadapan dengan setiap ujian itu. Tetapi alhamdulillah, Dia izinkan kaki ini melangkah jauh dari Kuala Lumpur, jauh dari perkara yang membuatkan air mata menitis. Allah sayang, sebab itu Dia bagi ujian. Lagi berat ujian, lagi Allah sayang, kan? *tengah memujuk diri sendiri*

Bermula dari hari pertama, 23 Disember 2013. Awal-awal pagi saya dah menyusup keluar dari bilik, naik bas Metro 91 ke LRT Bandaraya dan seterusnya ke Pudu Sentral dengan harapan tiket ke Kuantan masih ada. Alhamdulillah, sempat beli perjalanan ke Kuantan pada jam 9.30 pagi. Surprisingly, duit dalam dompet tinggal berbaki RM20. Nangis lagi seorang diri sementara menunggu bas. Tak apa, insha Allah ada rezeki lain yang Allah aturkan.

Lebih kurang jam 2.30 petang barulah saya selamat tiba di Terminal Sentral Kuantan. Bas yang dinaiki mengalami sedikit kerosakan di Genting Sempah, singgah workshop untuk baiki apa yang patut lebih kurang sejam. Tak apa, yang penting selamat. Saya dibawa ke kampung halaman sahabat saya, Ilyani di Felda Bukit Kuantan. Makin nak menangis rasanya sebab rindukan kampung halaman. Basically hari pertama, kami tak melakukan apa-apa aktiviti melainkan spend masa di rumah. Penat katakan.

24 Disember 2013

Seawal jam sembilan pagi kami sudah menanti bas RapidKuantan untuk menuju ke bandar Kuantan. Rancangannya hari ini, nak melawat sahabat-sahabat sekolah di UIA Kuantan. Dah sampai Hentian Bandar, kami perlu menunggu jam 11.30 pagi untuk perjalanan ke UIA. Sesampai di Mahallah Talhah, terus bertemu dengan Firus (sahabat saya) dan kami sama-sama makan tengah hari. Cantik betul UIA Kuantan! Rasa macam nak pindah universiti saja (mohon sedar diri tak layak masuk situ).
Dari UIA Kuantan, saya memandu Perodua Viva yang disewa sahabat-sahabat saya Firus dan Fareha menuju ke Pantai Teluk Cempedak. Well, kebetulan hanya saya seorang saja yang ada lesen memandu. Cantiknya Teluk Cempedak walaupun tengah hari tapi still ramai gila orang! Banyak sangat kemudahan di sini macam McDonald's, KFC, Burger King, Tutti Fruiti, Chatime dan gerai makan yang lain. Tamat menjamu mata dan perut di Teluk Cempedak, atas cadangan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak ketemu ini, saya berjaya dipujuk untuk ke East Coast Mall. Tak beli apa-apapun memandangnya kami berempat nak segera pulang untuk kembalikan kereta. Kami berangkat pulang ke kediaman Ilyani di Taman Sri Mahkota Aman, Kuantan.

The end of day two.

25 Disember 2013.

Cuti umum Krismas tak mematahkan semangat kami nak bermandi-manda di Bukit Gambang Waterpark. Tak jauh pun dari rumah Ilyani, cuma naik bas dengan bayaran tambang RM2 terus sampai ke destinasi. Dapatlah cuci mata melihat Universiti Malaysia Pahang dan Kolej Matrikulasi Pahang. Lebih kurang jam sebelas ke dua belas lebih kami tiba. Perancangan awalnya sebelum masuk ke dalam, hajat di hati nak bertemu dengan kakak senior sebilik di sekolah dulu. Kak Rehan namanya. Terharu sangat bila Kak Rehan sanggup drive dari UMP semata-mata nak jumpa saya. Terima kasih. Dan terima kasih juga dekat kawan-kawan sebilik Kak Rehan yang sudi ikut sekali.

Bila Kak Rehan balik saja kami terus serbu kaunter tiket. Ramai gila orang! Well, public holiday katakan. Tiket dewasa berharga RM25.90. Dah beli tiket semua, apa lagi? Masuk ke dalam, sewa pelampung dan loker, tukar baju dan serang! Main sampai puas, tak sedar dah pukul tiga lebih dekat dalam kawasan permainan. Waterparknya tak adalah segah Sunway Lagoon atau Bukit Merah Waterpark pun, memadailah bayaran tiketnya yang berpatutan *walaupun sepatutnya kami berhak dapat harga diskaun untuk pelajar*

Kalau nak tahu harga & promosi BGRC, boleh layari laman sesawang mereka di http://www.bgrc.com.my/waterpark.html

Sampai rumah pun dah Asar. Dek keletihan, tertidur sampai Maghrib. Lepas solat semua, it's night market time! Sangatlah heaven pasar malam di sini sebab banyak pilihan makanan especially cendol jagung yang lazat terlajak laris, pedal ayam percik, keropok lekor dan pisang goreng *gosok perut sebab tengah lapar*

26 Disember 2013

Took a full day rest di rumah sahaja sambil cover semua bab yang perlu dibaca untuk subjek Literary Criticism

27 Disember 2013

Goodbye Kuantan, hai Kuala Lumpur! Kalau tak kerana ada peperiksaan akhir semester pada 28 Disember, tak mungkin saya nak balik KL lagi. Tapi kenalah sedar diri dah lama sangat menumpang rumah orang itu, tak tahu nak balik ke? Hahaha. Dengan menaiki bas Bulan Restu ke Hentian Pekeliling, saya selamat tiba jam 3.30 petang. Terima kasih sahabatku Najla yang sudi jemput tuan hamba di hentian bas.

Welcome back to your real world, Filzati!

Wassalam.

Sunday, June 9, 2013

Officially ended

Assalamualaikum.

Pejam celik, Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi. Bagaimana dengan persiapan masing-masing? Puasa ganti sudah selesai?

Alhamdulillah, semester kedua bagi sesi 2012/2013 telah berakhir setelah saya selesai menjawab kertas English Literature: 20th Century and Contemporary. Saya bakal bercuti sehingga awal September. Moga dapat mengisi masa dengan sesuatu yang berguna. Cepat sungguh masa berlalu. Sudah cukup dua tahun meraih butir-butir pengalaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tahun ketiga nanti pasti akan menyaksikan pelbagai cabaran daripada segenap sudut. Subjek-subjek pula semakin tough sebagai persediaan menjadi graduan Bahasa Inggeris yang ada kelas tersendiri.

Walau apapun, kenangan sepanjang semester dua ini tidak mungkin saya lupakan. Memori bersama para pensyarah yang cukup dedikasi dan sporting cukup membahagiakan. Saya akan merindui lawak sinis Dr. Mahmud selaku pensyarah bagi subjek peperiksaan pagi tadi, Dr. Subramaniam dengan cerita-cerita semioticsnya, Ustaz Muntaha Artalim dengan taujihat berguna tentang ilmu fiqh dan syariah serta Dr. Maizatun selaku pembimbing bagi subjek Family Management yang tidak lokek berkongsi ilmu tentang alam perkahwinan dan ilmu keibubapaan.

Tidak terkecuali ayat-ayat daripada Ustaz Muntaha yang masih segar dalam ingatan. Katanya,

"Filzah, nanti sudah graduasi cepat-cepat menikah. Bukan apa, kalau ditangguh nanti makin lambat pula kahwin.."

*ayat-ayat di atas telah diubah suai mengikut kesesuaian*

Somehow, sejak ustaz panggil saya dengan nama Filzah, saya jadi suka apabila orang lain memanggil seperti yang demikian. Terima kasih juga atas doa assabiqunal awwalun itu. Moga Allah merahmati ustaz dan seluruh keluarga.

Tidak dilupakan buat pensyarah-pensyarah lain yang banyak membantu terutamanya Dr. Ainon, Ustaz Azahari dan Dr. Ismail yang baik hati. Kata orang, pengalaman itulah guru yang paling berguna. Dan, apabila menjadi pendidik, jangan sekadar menjadi mu'allim, tetapi juga murabbi. In shaa Allah, moga bermanfaat buat diri ini yang juga bercita-cita menjadi pensyarah suatu hari nanti jika diizinkan.

Wassalam.

Sunday, June 2, 2013

Sembilan Hari

Assalamualaikum.

Hari pertama (23 Mei 2013)

Bersiap-siap untuk pulang menguruskan walimah ayah saudara saya di Perlis. Lebih kurang jam 5.30 petang, sahabat saya yang telah lama dinanti akhirnya tiba di UIA. *Ilyani, kita rindu awak sangat-sangat!* Sampai sahaja bilik, kami terus berbual panjang. Almaklumlah sudah beberapa bulan tidak bersua muka walaupun setiap hari tidak pernah putus bertanya khabar. Beliau menemani saya berbuka puasa, sambil sambung berborak sampailah ketibaan kami di Puduraya. Masa tunggu bas, sembang lagi. Bas tersangatlah lambat, sepatutnya tiba jam 11.30 malam tetapi pada jam 2.30 pagi barulah kami dapat menaikinya. Masuk bas, masing-masing sudah kepenatan, namun sempat lagi menikmati Marrybrown dan akhirnya kami tertidur dalam keletihan.

Hari kedua (24 Mei 2013)

Selamat sampai di Perlis lebih kurang jam sembilan setelah menempuhi perjalanan yang cukup memenatkan. Sampai sahaja di rumah, meriah sungguh dengan kehadiran orang kampung yang turut membantu pasang khemah, memasak dan sebagainya. Petang itu, kami ke homestay keluarga saya di Kedah dan beliau turut membantu saya, mak dan abah mengemas. Rajin sungguh!

Balik rumah sekembalinya dari membeli barang untuk kenduri di bandar Arau, tugasan kenduri perlu diselesaikan. Bahagian untuk kami sebagai orang muda ialah bungkus goodie bag. Banyak betul, malamnya baru siap semua benda. Tapi sempat lagi menonton The Apprentice Asia.

Hari ketiga (25 Mei 2013)

Hari kenduri! Tidak menang tangan dibuatnya. Khidmat tenaga muda sangat diperlukan *padahal saya dan Ilyani kerjanya menonton TV*. Sampai sahaja pengantin di rumah, apalagi budak dua orang ini. Bertukarlah mereka menjadi photographer tidak bertauliah. Letihnya kenduri sampai malam terasa. Tapi kami masih sempat menonton cerekarama bersama-sama, hihi.

Hari keempat (26 Mei 2013)

Masa dihabiskan di rumah, mengemas dan menghabiskan makanan yang banyak itu. Malamnya kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur, dan Ilyani masih sempat meluangkan masa membantu saya mengulangkaji subjek Bahasa Arab disebabkan petang keesokan harinya saya akan menduduki peperiksaan akhir semester. Bas tiba jam sebelas malam, masuk sahaja bas terus tertidur keletihan sehinggalah tiba di KL.

Hari kelima (27 Mei 2013)

Sampai UIA jam lapan pagi dan terus sambung tidur. Betapa letihnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Petangnya jam dua saya bergegas ke Kulliyyah of Engineering untuk peperiksaan pada jam tiga petang. Letih yang masih berbaki digunakan sebagai alasan untuk berehat selepas Maghrib sampailah ke pukul dua pagi. Bangun solat Isyak, dan masing-masing melayan lagu Hindustan. Hahaha, inilah kami.

Hari keenam (28 Mei 2013)

Pagi yang ditemani dengan hujan yang rintik-rintik di UIA. Namun tidak mematahkan semangat saya untuk membawa Ilyani berjoging di Female Sport Complex pada saat insan lain sibuk berjalan menuju ke dewan peperiksaan. Dan pertama kali jugalah saya berjoging di sini sepanjang menjadi pelajar UIA selama hampir dua tahun.

Jam sebelas pagi, kami ke KLCC bersama-sama dengan dua kenalan Ilyani, iaitu Dani dan Leeza. Apalagi, Kinokuniyalah tempat kunjungannya. Kemudian, kami berempat ke Taman Tasik Titiwangsa untuk menikmati makan tengah hari di sana. Cantik sangat tempatnya, tak sempat hendak bergambar disebabkan terlalu asyik berborak.

*Awak, thanks for the Ochado yang sangat sedap itu. Dapatlah merasa*

Hari ketujuh (29 Mei 2013)

Keluar lagi! Kalau ada Ilyani memang tak lekatlah di bilik. Hari ini ke Jalan TAR pula untuk mencuci mata, sambil ditemani cendol pulut sebagai pembasah tekak. Serius seronok sangat!
Malamnya, saya buli Ilyani bacakan saya Semantics. Kasihan beliau. Hahaha.

Hari kelapan (30 Mei 2013)

Kami berkunjung dan ziarah ke rumah salah seorang kakak kesayangan, Intan Farhana Idris. Jika anda masih ingat, saya selalu ceritakan tentang Kak Intan dalam entri-entri dahulu. Sekarang, Kak Intan sudah berumah tangga dan bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi. Cepatnya masa berlalu.


Hari kesembilan (31 Mei 2013)

Penghujung Mei menjadi saksi perpisahan ini. Menghantar Ilyani kembali ke pangkuan keluarga setelah saya meminjamnya selama seminggu. Yang mampu saya katakan sepanjang sembilan hari bersama beliau, banyak perkara yang kami kongsikan. Kata-kata motivasi, gurau senda, kongsi makanan, solat jemaah dan buli-membuli. Cuma kami masih belum berkesempatan bangun solat malam bersama disebabkan asyik terlajak. Sembilan hari berlalu begitu pantas. Terasa bagai sekelip mata.

Okey dah mula rasa sedih. Nanti nangis lagi sebagaimana tangisan malam sebelum peperiksaan Semantics 1 Jun lalu. 

Wassalam.

Monday, October 29, 2012

28.10.2012-The Hectic Journey Ever

Assalamualaikum.

Tanggal 28 Oktober 2012, jam 9 pagi.

Saya masih menanti-nanti ketibaan bas Transnasional di Stesen Bas Kangar yang akan membawa semula saya ke tempat pengajian. Seperti diduga, bas yang dinanti tidak muncul tiba pada jam yang dijadualkan. Marah, letih dan lapar menguasai diri. Oh, mungkin Allah sedang menguji saya?

Jam 11.30 pagi.

Bas gantian tiba. Bas itu sepatutnya tidak digunakan kerana akan membawa penumpang ke Shah Alam & Klang pada sebelah malamnya. Semasa menunggu, saya dikhabarkan bas yang sepatutnya tiba jam 9 pagi tadi mengalami kerosakan. Tiba di Stesen Minyak Ayer Hitam, Kedah, kami diarahkan untuk turun bas dan naik bas lain yang telah sedia menanti di sana. Saya masih bersabar.

Lebih kurang jam 3 petang ke atas.

Kami terperangkap di persimpangan keluar Seberang Jaya. Sangkaan saya, ini perkara biasa. Laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang memang sentiasa sesak dengan kenderaan. Bas bergerak dalam kelajuan 20-30 km/sejam. Sungguh menyeksakan apabila saya yang baru sahaja terjaga dari tidur melihat kesesakan di hadapan mata memandangkan saya duduk di tempat duduk di belakang pemandu.

Jam 5 ke atas.

Menakjubkan! Kami masih belum dapat bergerak sempurna. Plaza Tol Juru juga sesak! Saya masih letih dan lapar. Sepatutnya pada jam ini kami sudah berada "somewhere in Perak". Saya menjangkakan pasti kami akan tiba lewat di Kuala Lumpur.

Lebuhraya masih sesak. Kerusi bas yang sempit sungguh tidak menyelesakan (rasanya saya sudah tidak patut menggunakan khidmat bas tersebut lagi, oh!). Nasib baik bas singgah di Hentian Sebelah Bukit Gantang. Dapatlah saya solat jama' qasar dan makan seadanya.

Sedar tidak sedar, kami berjaya meloloskan diri daripada kesesakan. Bagaimanapun kegembiraan itu hanya sementara. Perjalanan menjadi semakin lambat apabila jalan sesak kembali sebelum persimpangan Changkat Jering & Taiping, juga di Ipoh sehingga ke terowong Menora. Seksa! Kesesakan luar biasa yang belum pernah saya lalui seumur hidup.

Langit sudah gelap. Namun kesesakan yang menggila masih belum menunjukkan tanda-tanda akan lancar. Abah dan mak di rumah sudah mula risau apabila jam 11 malam ke atas anak mereka ini masih belum tiba di UIA. Saya sudah runsing. Bagaimana pula saya boleh pulang ke UIA sedangkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan ditutup jam 11.30 malam nanti sedangkan saya masih belum berada dalam negeri Selangor?

Saya dan Farhani (rakan yang turut bersama pulang ke Perlis) berbincang dalam kepekatan malam itu. Kami hanya punya 3 pilihan.

1) Terus pulang ke UIA menaiki teksi dari Puduraya, walaupun kami tahu risiko tambang mahal adalah sangat tinggi.

2) Duduk di McDonald Puduraya sehingga pagi keesokan harinya.

3) Menginap di hotel.

Jalan masih sesak, dan bas masih bergerak dengan kelajuan mungkin 20-30-40 km/sejam. Akhirnya lebih kurang jam 12 malam bas sudah mula masuk ke negeri Selangor. Ya, saat itu saya dan Farhani telah membuat keputusan untuk menginap di hotel sahaja setelah mendapat kebenaran mak dan abah. Alhamdulillah, kesesakan yang bermula sejak di Seberang Jaya tamat selepas persimpangan Rawang. Bas bergerak laju sekali. Nak tercabut juga jantung dibuatnya.

Sampai di Hentian Duta lebih kurang jam 1 pagi. Masih ramai penumpang yang belum menaiki bas. Rupa-rupanya bas yang membawa saya dan penumpang lain itu sepatutnya membawa penumpang dari Hentian Duta ke Kangar & Kuala Perlis pada jam 9.30 malam! Bayangkan berapa jam lamanya mereka perlu menunggu? Masya-Allah.

Jam 1.20 pagi (lebih kurang)

Kami selamat tiba di Puduraya. Letih, mengantuk dan lapar, sambil berjalan dalam kepekatan malam mencari-cari hotel yang sesuai. Alhamdulillah, kami menginap di EV World Hotel yang terletak betul-betul di hadapan Pudu Sentral dengan bayaran RM60 semalam. Tak kisahlah, asalkan kami punya tempat untuk tidur. Sempat lagi ke McDonald's mencari makan malam.

Jam 3 pagi.

Mata sudah menggila minta direhatkan. Selamat malam dunia.

7 pagi (29 Oktober 2012).

Saya hampir terlajak solat Subuh! Nikmat tidur dalam keletihan dan dinginnya penyaman udara hotel! Lepas Subuh terus sambung balik tidur. Niat di hati hendak bangun jam 8, dan bersiap pulang ke UIA disebabkan kelas pada jam 10 pagi. Harapan! Terjaga jam 9 pagi. Bukan main bergegas pulang ke UIA. Mujur beg tak berat sangat. Dalam hati, saya sudah menjangkakan saya takkan sempat ke kelas Hadith nanti. Ah, ponteng lagi!

10 pagi.

Selamat tiba di UIA.

Yeah, kali pertama menempuh perjalanan pulang ke KL selama lebih kurang 13 jam! Lebih baik naik KTMB dari Arau saja.