Showing posts with label sahabat. Show all posts
Showing posts with label sahabat. Show all posts

Tuesday, January 21, 2014

Aku Ada Wali

Assalamualaikum.

Amboi, tajuk! Ambil inspirasi dari novel tulisan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin yang dah diadaptasi menjadi drama di TV Alhijrah, setiap Selasa jam 10 malam. Seriously, masa tengok episod pertama pun dah rasa macam kena tampar berkali-kali. Skrip tulisan Ustazah Fatimah Syarha sendiri, memang penuh pengajaran walaupun banyak babak kelakar. Watak kegemaran semestinya Syumaila.

Annoying much dengan watak Naim dan Syakir. Mak ayah hantar pergi belajar dekat Korea, belajarlah elok-elok. Ini tak, mengurat anak dara orang. Oh, tak ketinggalan Zahira yang sanggup biar diri dipergunakan sebab dibutakan dengan cinta. Pendek kata, pelakon-pelakon memang dah buat yang terbaik demi menghayati watak masing-masing.

Tahniah semua!

Kalau saja Siti Saleha betul-betul gunakan watak Syumaila dan jadikan Syumaila itu diri dia. Bagi saya, Siti Saleha memang sesuai dengan watak Syumaila. Lembut, berprinsip dan tegas. Doakanlah, mana tahu one day  ada Syumaila yang betul wujud di alam realiti? Syumaila amalkan prinsip 3P dalam hidup dia sekiranya ditimpa ujian hati.

Pause  

Priority

Pergi!

Berhenti sejenak untuk fikir prioriti yang lebih utama dari bercinta, kalau rasa tak penting, pergi!
Tak penting kalau sekadar nak suka-suka, tak ada motif dan matlamat.

"Kita hanya ingat Allah lima kali je dalam sehari, tapi ingat lelaki lebih dari tu. Kita ni hamba Allah ke, hamba lelaki?" - Syifa'

Betul cakap Syifa.
Kalaulah...
Kalaulah masa yang dulu boleh diputarkan balik..
Dah lama dah 3P macam yang diamalkan Syumaila dipraktikkan dalam kehidupan sendiri..

Hmm..
Selama ini lalai sebenarnya,
Banyak utamakan perkara lain daripada Allah *nangis*
Sedangkan Allah tak pernah sedetik lupakan kita..
Tapi tergamak kita manusia yang hina, tak ada apa-apa dekat dunia ini lupakan dia?

Muhasabah balik..

Tapi Allah baik..
Bila kita hampir jatuh, Dia 'tarik' kita balik ke jalan yang betul,
Dia takkan biarkan kita terkapai-kapai,
Tak boleh ke kita cuba jadi baik untuk Allah?

Wassalam.

Sunday, June 9, 2013

Officially ended

Assalamualaikum.

Pejam celik, Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi. Bagaimana dengan persiapan masing-masing? Puasa ganti sudah selesai?

Alhamdulillah, semester kedua bagi sesi 2012/2013 telah berakhir setelah saya selesai menjawab kertas English Literature: 20th Century and Contemporary. Saya bakal bercuti sehingga awal September. Moga dapat mengisi masa dengan sesuatu yang berguna. Cepat sungguh masa berlalu. Sudah cukup dua tahun meraih butir-butir pengalaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tahun ketiga nanti pasti akan menyaksikan pelbagai cabaran daripada segenap sudut. Subjek-subjek pula semakin tough sebagai persediaan menjadi graduan Bahasa Inggeris yang ada kelas tersendiri.

Walau apapun, kenangan sepanjang semester dua ini tidak mungkin saya lupakan. Memori bersama para pensyarah yang cukup dedikasi dan sporting cukup membahagiakan. Saya akan merindui lawak sinis Dr. Mahmud selaku pensyarah bagi subjek peperiksaan pagi tadi, Dr. Subramaniam dengan cerita-cerita semioticsnya, Ustaz Muntaha Artalim dengan taujihat berguna tentang ilmu fiqh dan syariah serta Dr. Maizatun selaku pembimbing bagi subjek Family Management yang tidak lokek berkongsi ilmu tentang alam perkahwinan dan ilmu keibubapaan.

Tidak terkecuali ayat-ayat daripada Ustaz Muntaha yang masih segar dalam ingatan. Katanya,

"Filzah, nanti sudah graduasi cepat-cepat menikah. Bukan apa, kalau ditangguh nanti makin lambat pula kahwin.."

*ayat-ayat di atas telah diubah suai mengikut kesesuaian*

Somehow, sejak ustaz panggil saya dengan nama Filzah, saya jadi suka apabila orang lain memanggil seperti yang demikian. Terima kasih juga atas doa assabiqunal awwalun itu. Moga Allah merahmati ustaz dan seluruh keluarga.

Tidak dilupakan buat pensyarah-pensyarah lain yang banyak membantu terutamanya Dr. Ainon, Ustaz Azahari dan Dr. Ismail yang baik hati. Kata orang, pengalaman itulah guru yang paling berguna. Dan, apabila menjadi pendidik, jangan sekadar menjadi mu'allim, tetapi juga murabbi. In shaa Allah, moga bermanfaat buat diri ini yang juga bercita-cita menjadi pensyarah suatu hari nanti jika diizinkan.

Wassalam.

Sunday, June 2, 2013

Sembilan Hari

Assalamualaikum.

Hari pertama (23 Mei 2013)

Bersiap-siap untuk pulang menguruskan walimah ayah saudara saya di Perlis. Lebih kurang jam 5.30 petang, sahabat saya yang telah lama dinanti akhirnya tiba di UIA. *Ilyani, kita rindu awak sangat-sangat!* Sampai sahaja bilik, kami terus berbual panjang. Almaklumlah sudah beberapa bulan tidak bersua muka walaupun setiap hari tidak pernah putus bertanya khabar. Beliau menemani saya berbuka puasa, sambil sambung berborak sampailah ketibaan kami di Puduraya. Masa tunggu bas, sembang lagi. Bas tersangatlah lambat, sepatutnya tiba jam 11.30 malam tetapi pada jam 2.30 pagi barulah kami dapat menaikinya. Masuk bas, masing-masing sudah kepenatan, namun sempat lagi menikmati Marrybrown dan akhirnya kami tertidur dalam keletihan.

Hari kedua (24 Mei 2013)

Selamat sampai di Perlis lebih kurang jam sembilan setelah menempuhi perjalanan yang cukup memenatkan. Sampai sahaja di rumah, meriah sungguh dengan kehadiran orang kampung yang turut membantu pasang khemah, memasak dan sebagainya. Petang itu, kami ke homestay keluarga saya di Kedah dan beliau turut membantu saya, mak dan abah mengemas. Rajin sungguh!

Balik rumah sekembalinya dari membeli barang untuk kenduri di bandar Arau, tugasan kenduri perlu diselesaikan. Bahagian untuk kami sebagai orang muda ialah bungkus goodie bag. Banyak betul, malamnya baru siap semua benda. Tapi sempat lagi menonton The Apprentice Asia.

Hari ketiga (25 Mei 2013)

Hari kenduri! Tidak menang tangan dibuatnya. Khidmat tenaga muda sangat diperlukan *padahal saya dan Ilyani kerjanya menonton TV*. Sampai sahaja pengantin di rumah, apalagi budak dua orang ini. Bertukarlah mereka menjadi photographer tidak bertauliah. Letihnya kenduri sampai malam terasa. Tapi kami masih sempat menonton cerekarama bersama-sama, hihi.

Hari keempat (26 Mei 2013)

Masa dihabiskan di rumah, mengemas dan menghabiskan makanan yang banyak itu. Malamnya kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur, dan Ilyani masih sempat meluangkan masa membantu saya mengulangkaji subjek Bahasa Arab disebabkan petang keesokan harinya saya akan menduduki peperiksaan akhir semester. Bas tiba jam sebelas malam, masuk sahaja bas terus tertidur keletihan sehinggalah tiba di KL.

Hari kelima (27 Mei 2013)

Sampai UIA jam lapan pagi dan terus sambung tidur. Betapa letihnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Petangnya jam dua saya bergegas ke Kulliyyah of Engineering untuk peperiksaan pada jam tiga petang. Letih yang masih berbaki digunakan sebagai alasan untuk berehat selepas Maghrib sampailah ke pukul dua pagi. Bangun solat Isyak, dan masing-masing melayan lagu Hindustan. Hahaha, inilah kami.

Hari keenam (28 Mei 2013)

Pagi yang ditemani dengan hujan yang rintik-rintik di UIA. Namun tidak mematahkan semangat saya untuk membawa Ilyani berjoging di Female Sport Complex pada saat insan lain sibuk berjalan menuju ke dewan peperiksaan. Dan pertama kali jugalah saya berjoging di sini sepanjang menjadi pelajar UIA selama hampir dua tahun.

Jam sebelas pagi, kami ke KLCC bersama-sama dengan dua kenalan Ilyani, iaitu Dani dan Leeza. Apalagi, Kinokuniyalah tempat kunjungannya. Kemudian, kami berempat ke Taman Tasik Titiwangsa untuk menikmati makan tengah hari di sana. Cantik sangat tempatnya, tak sempat hendak bergambar disebabkan terlalu asyik berborak.

*Awak, thanks for the Ochado yang sangat sedap itu. Dapatlah merasa*

Hari ketujuh (29 Mei 2013)

Keluar lagi! Kalau ada Ilyani memang tak lekatlah di bilik. Hari ini ke Jalan TAR pula untuk mencuci mata, sambil ditemani cendol pulut sebagai pembasah tekak. Serius seronok sangat!
Malamnya, saya buli Ilyani bacakan saya Semantics. Kasihan beliau. Hahaha.

Hari kelapan (30 Mei 2013)

Kami berkunjung dan ziarah ke rumah salah seorang kakak kesayangan, Intan Farhana Idris. Jika anda masih ingat, saya selalu ceritakan tentang Kak Intan dalam entri-entri dahulu. Sekarang, Kak Intan sudah berumah tangga dan bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi. Cepatnya masa berlalu.


Hari kesembilan (31 Mei 2013)

Penghujung Mei menjadi saksi perpisahan ini. Menghantar Ilyani kembali ke pangkuan keluarga setelah saya meminjamnya selama seminggu. Yang mampu saya katakan sepanjang sembilan hari bersama beliau, banyak perkara yang kami kongsikan. Kata-kata motivasi, gurau senda, kongsi makanan, solat jemaah dan buli-membuli. Cuma kami masih belum berkesempatan bangun solat malam bersama disebabkan asyik terlajak. Sembilan hari berlalu begitu pantas. Terasa bagai sekelip mata.

Okey dah mula rasa sedih. Nanti nangis lagi sebagaimana tangisan malam sebelum peperiksaan Semantics 1 Jun lalu. 

Wassalam.