Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Tuesday, June 14, 2016

Rahmat Allah Mengatasi Murka-Nya

“Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku.” (au kama qaal), itu kata-kata Allah dalam sebuah hadis qudsinya riwayat Bukhari dan Muslim.
 Rahmat Allah, jika difikir, subhanallah, luas seluas-luasnya. Tak dapat digambar dengan kata-kata. Di langit, di bumi, dalam laut. Subhanallah!
وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
 “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nahl, 16:18)
Bahkan rahmat-Nya bukan saja untuk Muslim tetapi juga untuk mereka yang bukan Islam. Lihat saja betapa banyak kesenangan dan kasih sayang yang Allah beri kepada mereka biarpun mereka masih kufur kepada Allah.
Sesebuah nikmat itu susah untuk kita hargai selagi ia masih berada di depan mata. Cuba kalau tiba-tiba hilang, masa itu barulah akan dapat rasa kehilangannya. Contoh paling mudah, sekecil-kecil perkara macam ibu jari. Hari-hari guna ibu jari tapi pernahkah kita memikirkan hikmah penciptaan ibu jari kepada manusia.
Cuba bayangkan jika bangun saja esok pagi, tiba-tiba saja tiada ibu jari. Walaupun masih berbaki lagi empat jari, fungsi memegang dan menggenggam dah tak sama macam bila ada ibu jari.
Jadi benarlah, sesuatu yang Allah ciptakan itu untuk manusia berfikir. Banyak kali kita jumpa perkataan “la’allakum ta’qiluun/tatafakkarun” dalam al-Quran. 
Bila berkata tentang rahmat Allah, kita tak dapat lari dari memikirkan betapa penyayangnya Allah lebih-lebih lagi kepada hamba-Nya yang dah terlanjur melakukan dosa.
Siapa saja yang tak berdosa di dunia ini?
Aku, kau, mereka. Semuanya pendosa. Kita bukannya para anbiya’ yang ma’sum.
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ 
جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar, 39:53).
Ayat yang penuh dengan pengharapan buat semua hamba-Nya. Jika Allah sendiri dah beri harapan kepada hamba-Nya yang berdosa supaya tak berputus asa dengan rahmat-Nya, kenapa kita sebagai manusia biasa memperlekehkan mereka yang ingin kembali ke jalan-Nya?
Pengampunan Allah ini banyak caranya.
1) Taubat
إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا 
رَّحِيمًا
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Furqan, 25:70).
Betapa penyayangnya Allah kepada hamba-Nya yang berdosa lalu memohon keampunan kepada-Nya. Malah Dia akan gantikan kejahatan dengan kebaikan lagi.
Dalam hadis qudsi riwayat At-Tirmizi dinyatakan, dosa setinggi langit malah sebesar bumi pun tetap akan diampunkan-Nya.
Apa lagi yang manusia mahu dustakan?
2) Ibadat
Amal ibadat yang dilakukan juga dapat menggugurkan dosa. Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda bahawa solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, dan Ramadan ke Ramadan merupakan penghapusan dosa antara keduanya jika kita meninggalkan dosa besar.
3) Penangguhan azab selagi mana dosa tak dilakukan secara berleluasa
4) Dosa ditanggung diri sendiri.
قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ ۚ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ 
وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
“Katakanlah: ”(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah al-An’am, 6:164).
5) Pahala digandakan tetapi dosa tidak digandakan
Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim dinyatakan bahawa siapa saja yang berniat untuk melakukan kebaikan dan dia tak melaksanakannya, Allah akan memberikannya satu kebaikan, namun bagi yang melaksanakannya, Allah akan bagi sepuluh kebaikan sehingga 700 kali ganda. Bagi yang berniat jahat tapi tak buat, satu kebaikan yang sempurna untuknya. Bagi yang berniat jahat dan melakukannya, dicatatkan cuma satu kesalahan saja.
Benarlah apa yang tercatat dalam al-Quran.
“Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
*** Catatan kuliah dhuha bersama Dr Muhamad Rozaimi Ramle, pensyarah hadis UPSI 12 Jun 2015.

Sunday, July 13, 2014

Aku, Ramadan, FIFA World Cup 2014 dan Gaza

Assalamualaikum.

Jika ditanya apakah persamaan yang muncul antara Piala Dunia yang sedang hangat berlangsung dan tragedi berdarah di Gaza, akan saya katakan bahawa kedua-dua berlangsung pada masa yang sama yakni sewaktu umat Islam seantero dunia sedang menjalani ibadah puasa. Piala Dunia FIFA 2014 bakal berakhir awal pagi 14 Julai ini, sedangkan bagaimana pula dengan penderitaan rakyat Palestin? Adakah sama berakhirnya seperti Piala Dunia FIFA 2014 iaitu dengan sebuah kemenangan? Jika Piala Dunia menyaksikan pertarungan antara negara Jerman dan Argentina, isu Palestin pula memperjuangkan hak rakyatnya yang berjuang demi mempertahankan tanah air dari rejim Zionis yang kejam.

Pada saat kita diulit kemewahan dan kesenangan dalam menjalani ibadah puasa dengan juadah yang serba lazat dan kemudahan untuk bersolat tarawih di masjid serba berhawa dingin, jangan pernah dilupakan saudara seislam di Palestin. Hati kecil ini sungguh tersentuh setiap kali melayari laman sosial di mana saya dapat melihat dengan kedua-dua mata saya sendiri penderitaan yang dialami mereka. Kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa kekejaman Zionis yang tidak berkesudahan. Tidak cukup dengan itu, berita tentang dua kanak-kanak tercedera akibat terkena bom sewaktu sedang membaca Al-Quran benar-benar menyentuh hati. Saya tertanya-tanya di sebalik konflik yang berlaku, sampai bilakah kanak-kanak yang tidak berdosa itu akan terus menjadi mangsa bedilan roket dan bom Zionis?

Saya menulis bukan untuk mengkritik mereka yang sanggup berjaga lewat malam demi perlawanan bola sepak. Saya menulis supaya dapat menjadi renungan semua. Pada saat kita bersengkang mata kerana bola, mereka di Gaza bersengkang mata kerana berjaga-jaga. Pada bila-bila masa mereka akan syahid. Apa yang saya kagumi tentang para pejuang di Palestin ini ialah semangat jihad mereka yang cukup kental. Kanak-kanak yang masih mentah tidak mahu ketinggalan bersama-sama dengan pejuang dewasa walaupun cuma sekadar punya kudrat untuk membaling batu ke arah rejim Zionis. Saya membayangkan jika saya sendiri berada di tempat mereka di sana. Masih tegarkah hati saya untuk terus berjuang apabila melihat kaum keluarga mati di hadapan mata sendiri? Tidak, saya masih belum cukup kuat seperti mereka.

Sebagai insan kerdil, tiada apa lagi yang mampu kita lakukan melainkan yang paling utama iaitu dengan doa. Daripada Abu Darda’ r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda,

“Doa seorang muslim kepada saudaranya yang muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab, (ketika berdo’a) akan ada didekatnya seorang malaikat muwakkal (pesuruh) setiap ia berdoa untuk saudaranya itu dengan sesuatu kebaikan (malaikat itu) akan berkata: “Amin! Dan bagi engkau kebaikan yang sama”.

(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Kita sudah maklum akan kelebihan bulan Ramadan di mana segala doa yang dipohon pasti akan dimakbulkan Allah. Apa tidaknya kita gunakan peluang ini untuk sama-sama mendoakan saudara seagama kita di Palestin. Jika warga bumi yang bukan Islam juga mampu menunjukkan solidariti bersama Palestin melalui kempen-kempen di jalanan, mengapa tidak kita juga?

Memetik satu kata-kata yang saya temui di laman sosial Twitter,

“Beruntung saudara seislam kita di Palestin. Berpuasa di dunia, iftar di syurga.”

*Nukilan ini disiarkan di laman web Ma'ruf Club UIAM Gombak pada 13 Julai 2014 - http://www.marufclub.com/2014/07/aku-ramadan-fifa-world-cup-2014-dan-gaza/

Wassalam.

Tuesday, January 21, 2014

Aku Ada Wali

Assalamualaikum.

Amboi, tajuk! Ambil inspirasi dari novel tulisan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin yang dah diadaptasi menjadi drama di TV Alhijrah, setiap Selasa jam 10 malam. Seriously, masa tengok episod pertama pun dah rasa macam kena tampar berkali-kali. Skrip tulisan Ustazah Fatimah Syarha sendiri, memang penuh pengajaran walaupun banyak babak kelakar. Watak kegemaran semestinya Syumaila.

Annoying much dengan watak Naim dan Syakir. Mak ayah hantar pergi belajar dekat Korea, belajarlah elok-elok. Ini tak, mengurat anak dara orang. Oh, tak ketinggalan Zahira yang sanggup biar diri dipergunakan sebab dibutakan dengan cinta. Pendek kata, pelakon-pelakon memang dah buat yang terbaik demi menghayati watak masing-masing.

Tahniah semua!

Kalau saja Siti Saleha betul-betul gunakan watak Syumaila dan jadikan Syumaila itu diri dia. Bagi saya, Siti Saleha memang sesuai dengan watak Syumaila. Lembut, berprinsip dan tegas. Doakanlah, mana tahu one day  ada Syumaila yang betul wujud di alam realiti? Syumaila amalkan prinsip 3P dalam hidup dia sekiranya ditimpa ujian hati.

Pause  

Priority

Pergi!

Berhenti sejenak untuk fikir prioriti yang lebih utama dari bercinta, kalau rasa tak penting, pergi!
Tak penting kalau sekadar nak suka-suka, tak ada motif dan matlamat.

"Kita hanya ingat Allah lima kali je dalam sehari, tapi ingat lelaki lebih dari tu. Kita ni hamba Allah ke, hamba lelaki?" - Syifa'

Betul cakap Syifa.
Kalaulah...
Kalaulah masa yang dulu boleh diputarkan balik..
Dah lama dah 3P macam yang diamalkan Syumaila dipraktikkan dalam kehidupan sendiri..

Hmm..
Selama ini lalai sebenarnya,
Banyak utamakan perkara lain daripada Allah *nangis*
Sedangkan Allah tak pernah sedetik lupakan kita..
Tapi tergamak kita manusia yang hina, tak ada apa-apa dekat dunia ini lupakan dia?

Muhasabah balik..

Tapi Allah baik..
Bila kita hampir jatuh, Dia 'tarik' kita balik ke jalan yang betul,
Dia takkan biarkan kita terkapai-kapai,
Tak boleh ke kita cuba jadi baik untuk Allah?

Wassalam.

Saturday, June 22, 2013

Bahaya riak

Assalamualaikum.

Riak? Takabbur? Berbangga dengan amalan yang dilakukan? Menunjuk-nunjuk? Tahukah anda semua ini tergolong dalam kategori syirik khafi?

Syirik - perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah. 

Syirik khafi - syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Zaman sekarang tidak perlu tengok jauh-jauh untuk kenal pasti apabila berlakunya syirik khafi ini. Merata-rata tempat ada. Tetapi saya ingin fokuskan dalam konteks laman sosial. Sesetengah orang suka mengemaskini status Facebook dan Twitter dengan aktiviti yang mereka lakukan setiap waktu. Bayangkanlah, hendak pergi mandi pun update dalam Facebook. 

I am wondering what is happening in this world nowadays?

Jadi apa kaitannya dengan syirik khafi?

Kawan-kawan, sedarkah anda sifat riak yang ada dalam status Facebook dan Twitter itu sebenarnya bakal memusnahkan amal ibadat kita? Saya ambil contoh, seseorang yang terbangun awal pagi dan terus update Facebook/Twitternya:

"Terjaga pula. Nak solat tahajud dululah."

Contoh-contoh yang lain:

"Hari ini baca al-Quran sampai lima muka surat."

"Waktu Asar dah masuk. Nak kena pergi masjid ni."

Sebenarnya status ini tiada masalah pun cuma apabila disertakan dengan perasaan riak dan menunjuk-nunjuk amalan yang kita lakukan, apakah nilai yang masih ada pada amalan-amalan ini?

Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Baqarah ayat ke-264:


"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhrat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada kaum yang kafir."
Dalam satu lagi firman-Nya yang bermaksud: 


“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Ini sahaja perkongsian saya untuk entri ini. Semoga kita terhindar daripada melakukan perbuatan syirik khafi tanpa kita sedari.

Wassalam.

Wednesday, October 10, 2012

Intellectual Discourse-Kemelut Sosial Remaja: Gangsterisme & Seks Bebas- "Di Manakah Solusinya?"

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.

Allah s.w.t telah memberikan waktu dan kekuatan kepada saya untuk sama-sama hadir ke program Wacana Intelek siri yang ketiga. Untuk pengetahuan anda, program Wacana Intelek bersempena Convest 2012 UIAM ini mempunyai tiga siri. Yang pertama telah pun saya kongsikan dalam entri yang lepas. Siri kedua menampilkan Hilal Asyraf & Yatt Hamzah selaku tetamu undangan tetapi malangnya saya tidak berkesempatan untuk hadir berikutan ada program lain pada masa yang sama. Alhamdulillah Wacana Intelek semalam menyaksikan gandingan mantap dan hebat daripada Dr. Zaharuddin Abd Rahman, seorang pendakwah dan juga merupakan pensyarah di UIA, Ustaz Hasrizal Jamil (seorang penulis juga pendakwah bebas) serta tidak ketinggalan Imam Muda Omar selaku panelis. Tajuk yang dibincangkan ialah berkaitan dengan kemelut sosial remaja dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya.

Insya Allah saya akan kongsikan beberapa isi penting yang sempat saya catatkan semalam.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman:

- Institusi keluarga memainkan peranan yang penting
- Remaja perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan ibu bapa, dan ibu bapa juga perlu kuat dan menunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak untuk diikuti
- Contoh boleh dilihat menerusi Surah Luqman: Luqman mengajar anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah, menghargai ibu bapa, mendirikan solat, mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran, bersabar dengan setiap ujian yang diterima, jangan menyombong diri, jangan meninggikan suara dengan orang lain (ciri-ciri gangsterisme)
- Remaja (kebanyakannya lelaki) salah tanggapan tentang erti "macho": buli orang lain, hisap rokok dianggap perkara yang akan menampakkan kemachoan seseorang padahal jauh sama sekali
- Gangsterisme juga disebabkan oleh sifat diri yang suka melihat orang lain ditimpa kesusahan, suka untuk ada kuasa terhadap orang lain, enjoy rasa ditakuti
- Mereka yang terlibat ialah yang suka menjarakkan diri dengan ibu bapa dan menjadikan kawan-kawan itu lebih utama
- Allah s.w.t amat suka dengan orang yang tidak suka melakukan perkara yang tidak elok
- Media sebagai racun dan penawar yang dapat mengawal tindakan manusia
- Jangan ambil perkara yang disampaikan melalui media itu sebagai trend (contoh: tengok filem cinta terus rasa nak bercinta)

Ustaz Hasrizal:

- Barangsiapa yang mengatakan manusia sudah rosak, maka dialah sebenarnya yang paling rosak (seumpama dia sudah berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t)
- Tamadun Greco-Roman (salah satu tamadun berjaya di dunia) runtuh disebabkan masalah keruntuhan moral
- Masalah sosial yang berlaku adalah disebabkan manusia yang mempunyai sifat pentingkan diri sendiri
- Punca utama gangsterisme dan masalah seks bebas ialah jauh dari rahmat Allah s.w.t
- Individu itu sendiri yang gagal mengawal dirinya (mempunyai karakter yang lemah)
- Masalah ini turut berpunca daripada sistem pendidikan awal yang dilihat gagal untuk membentuk jati diri remaja sejak kecil
- Faktor internet: tiada sekatan seumpamanya, remaja lebih menjadi bebas


Imam Muda Omar pula mengajak audiens supaya memandang topik masalah sosial ini dari kaca mata seorang umat Nabi Muhammad s.a.w.

- Kita sebagai manusia ialah umat yang dipertanggungjawabkan untuk menyambung kerja-kerja kenabian (berdakwah seumpamanya)
- Nabi s.a.w menyuntik cahaya keimanan dalam diri sahabat-sahabatnya

Banyak lagi perkara menarik yang dikongsikan oleh ketiga-tiga panelis. Alhamdulillah, jumlah audiens yang ramai menunjukkan program Intellectual Discourse sempena Convest 2012 ini mendapat sambutan yang cukup hangat. Semoga tradisi majlis ilmu di bumi UIAM akan tetap diteruskan, biarpun Convest 2012 akan melabuhkan tirainya esok.

Wassalam.

Friday, October 5, 2012

Intellectual Discourse: Menjengah Sirah Nabi - Membentuk Muslim Berpemikiran Produktif

Assalamualaikum.

Alhamdulillah 3 Oktober yang lepas, saya berkesempatan menghadiri sebuah program yang dianjurkan bersempena dengan Convocation Fiesta UIAM Gombak 2012. Program Wacana Intelektual bersama Imam Muda Asyraf & Daie Muda Nizam Zulfikar yang membawakan tajuk Menjengah Sirah Nabi: Membentuk Muslim Berpemikiran Produktif diadakan di Auditorium Utama.

Saya ditemani sahabat tersayang, Farhani ke majlis ilmu ini. Pengisian program ini sangat berguna dan menyentuh kalbu apabila saudara Daie Muda mula menceritakan tentang kisah Rasulullah s.a.w tatkala baginda akan wafat dan sebagainya. Imam Muda Asyraf juga tidak ketinggalan dalam memberikan perkongsian ilmu kepada semua yang hadir pada malam itu.

Antara yang disampaikan oleh kedua-dua panel ialah (yang sempat saya catatkan):

- Tujuan utama orang produktif hidup ialah Allah s.w.t (Allahu ghayatuna)
- Sebaik-baik manusia itu ialah orang yang mampu memberikan manfaat kepada orang lain. 
- Sebagai seorang manusia, kita sebagai hamba Allah perlu berniat Lillahi Taala dalam melakukan apa jua  pekerjaan. 
- Orang yang tidak beriman kebanyakannya datang daripada golongan yang malas mengambil tahu hal sekeliling.
- Sebab utama orang Islam menjadi mundur ialah kerana meninggalkan kitab al-Quran, padahal orang bukan Islam sibuk mengkaji Quran dan mereka lebih maju daripada orang Islam sendiri.
- Dengan mengkaji al-Quran kita dapat mengenal Allah s.w.t dan ciptaan-Nya.
- Cara utama untuk menanamkan sifat cintakan Nabi Muhammad? --> Sejak dari kecil anak-anak perlu dipupuk untuk membaca sirah Nabi

Wassalam.